KUALA LUMPUR- Sepucuk surat penamatan kontrak pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mula tersebar di media-media sosial hari ini.

Surat yang ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., Datuk Seri Darwis Abdul Razak itu turut dikongsi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Facebooknya.

Surat yang ditandatangani Guan Eng itu memaklumkan keputusan kerajaan untuk membatalkan projek berkenaan serta merta dan meminta pihak Malaysia Rail Link untuk menyampaikan berita tersebut kepada kontraktor utama projek China Communication Construction Company Ltd. (CCCC) dan China Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd. serta pembiaya projek iaitu EXIM Bank China dan institusi-institusi pembiayaan yang lain.

Tiada sebab dinyatakan mengapa projek berkenaan dibatalkan.

Setakat ini masih tiada maklum balas mahu pun pengesahan daripada Kementerian Kewangan sama ada surat tersebut adalah tulen atau tidak.

Sekiranya, surat berkenaan adalah tulen, ini bermakna Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali tidak membuat kenyataan palsu dengan mengatakan projek ECRL telah pun dibatalkan sekaligus mengesahkan khabar angin yang telah mula bertiup sejak seminggu lalu.

Guan Eng yang sebelum ini enggan menjawab pertanyaan media sejak isu tersebut mula tersebar, hanya memberi maklum balas “terkejut” selepas Azmin mengesahkan pembatalan projek berkenaan Sabtu lepas.-MalaysiaGazette