Keputusan kerajaan berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu mengambil kira kebajikan 7,000 pekerja di jajaran rel berkenaan di Terengganu.
Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Keputusan kerajaan berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu mengambil kira kebajikan 7,000 pekerja di jajaran rel berkenaan di Terengganu.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata ketika ini pekerja berkenaan masih terikat dengan kontrak bersama syarikat China Communication Construction Company Ltd (CCCC) yang menetapkan syarat bahawa mereka tidak boleh bekerja di syarikat lain selagi kontrak tersebut belum tamat.

“Terdapat aduan daripada pekerja berkenaan bahawa mereka berhadapan risiko undang-undang jika melanggar kontrak pekerjaan itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Azan turut melahirkan kebimbangan sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab akan cuba ‘menangguk di air keruh’ dan mempolitikkan nasib 7,000 pekerja tersebut.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan akhir mengenai projek ECRL belum dibuat dan berada dalam status masih berunding.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan