Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Rais Yatim menunjukkan buku "History For Nation Building" yang telah dilancarkan olehnya di Silverfish Books, Bangsar Village, Bangsar, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 06 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dinasihatkan agar membatalkan terus projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana hanya menggemukkan kontrak khas di zaman Barisan Nasional (BN).

Tan Sri Rais Yatim berkata, tiada faedahnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu meneruskan projek ilham bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kata Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, kos berjumlah RM55 bilion itu lebih baik untuk digunakan kepada aktiviti yang lebih memberikan manfaat kepada rakyat.

“ECRL yg akan melibatkan RM55 billion lebih baik ketepikan saja. Duit sebanyak itu gunakan utk sumber pekerjaan atau pampasan tol atau stok penimbal beras, tepung, minyak masak, susu bayi, membantu hidup nelayan dan penoreh getah.

“ECRL akn hanya mmbuncitkan perut kontraktor khas,” katanya di Twitter.

Bekas Menteri itu kini giat menasihatkan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir sebaik PH memenangi Putrajaya, 9 Mei lalu.

Semalam, Dr Mahathir menafikan laporan media sebelum ini tentang status projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sah dibatalkan.

Sebaliknya buat masa ini, PH belum ada sebarang keputusan muktamad berkenaan projek yang diterajui China Communications Construction Group Ltd (CCCC) itu.

“Setakat ini tiada keputusan muktamad dibuat mengenai ECRL. Sebelum ini sudah ada ketetapan, tapi sekarang ada perubahan,” katanya.

Sebelum ini terdapat dua kenyataan berbeza daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

Pada Sabtu lalu, Azmin membuat kenyataan bahawa ECRL sah ditamatkan selepas perbincangan pada mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada 24 Januari lalu.

Namun Guan Eng kemudian dilaporkan sebagai berkata beliau terkejut dengan kenyataan Azmin dan memaklumkan status ECRL belum dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam tempoh terdekat. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan