MBSA
Beberapa pegawai MBSA melakukan pemeriksaan ke atas premis makanan dalam operasi yang dilakukan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tiga lagi premis makanan di Seksyen 7, dekat Shah Alam diarah tutup oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana tahap kebersihannya didapati kurang memuaskan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, tujuh notis dan enam kompaun diberikan kepada premis makanan berkenaan.

MBSA tuurt menyita 45 meja dan 129 kerusi yang di letakkan di premis makanan tanpa permit dan kebenaran MBSA ketika operasi dijalankan pada awal bulan ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan semasa operasi itu mendapati, pemilik premis makanan terbabit masih lagi mengabaikan tahap kebersihan khususnya daalam aspek penyediaan makanan dan penyimpanan makanan.

Malah, penggunaan peralatan yang kurang bersih, kebersihan tandas yang kurang memuaskan dan pekerja tidak mempunyai suntikan TY2 (anti-typhoid) turut menjadi salah satu daripada kesalahan yang dilakukan.

“Kegagalan pemilik premis mematuhi syarat-syarat ditetapkan tindakan boleh diambil mengikut Undang-Undang Kecil sedia ada seperti Undang-Undang Kecil Establisyemen Makanan MBSA 2007, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan; Perindustrian MBSA 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan MBSA 2007,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, operasi yang dijalankan di lima premis itu melibatkan Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Bangunan.

MBSA mengadakan pemeriksaan ke atas 615 premis dan daripada jumlah itu 28 premis diarah tutup sepanjang 2018 lalu.

Manakala, pada 2019 sehingga 20 Januari lalu, sebanyak 68 premis diperiksa, 5 premis diarah ditutup, 57 notis pemberitahuan dan 22 kompaun dikeluarkan.

“Operasi seperti ini akan dijalankan secara berkala pada setiap bulan bagi memastikan premis-premis makanan di Shah Alam sentiasa bersih dan mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

“MBSA berharap setiap premis makanan menjaga kebersihan serta mengamalkan pengendalian makanan yang betul serta memastikan pembantu kedai mendapat suntikan anti-Typhoid (TY2), menghadiri kursus pengendalian makanan, dan mendaftar untuk memiliki kad pengendalian makanan MBSA,” kata Shahrin lagi. – MalaysiaGazette