Paparan transkrip Datuk Marzuki Yahya yang mendapat ribuan komen dan perkongsian.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mungkin berniat baik dengan memaparkan sijil kelulusan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya untuk tatapan umum menerusi akaun Facebook parti itu.

Bagaimanapun, mungkin admin tidak menduga warga netizen di luar sana lebih teliti dan cerdik serta tidak sedikit pengetahuan mereka mengenai kelulusan akademik di universiti, termasuk bertaraf antarabangsa.

Seorang netizen yang memakai akaun Mohd Aizat berkata, pertama kali beliau mendapat tahu atau melihat sijil akademik sesebuah universiti memberikan gred A atau A+ kepada pelajar yang mendapat markah 3.9.

 

Sijil atau transkrip yang dipinda netizen supaya sesuai dengan gred A yang diberikan kepada Marzuki
Sijil atau transkrip yang dipinda netizen supaya sesuai dengan gred A yang diberikan kepada Marzuki

Dengan memasukkan simbol ketawa dalam status Facebooknya, netizen itu memberitahu, pelajar berkenaan (merujuk Marzuki) hanya memerlukan 0.1 markah sahaja lagi untuk mendapat point penuh 4.0.

Dia secara berseloroh menyatakan, “mungkin markah KAFA kot,” merujuk Kelas Fardu Ain yang dilaksanakan di setiap sekolah kebangsaan.

Isu pemalsuan sijil pengajian berbangkit apabila seorang netizen membuat laporan polis berhubung kekeliruan universiti tempat Marzuki belajar dan mendapatkan kelayakan akademik.

Dalam Wikipedia menyatakan Timbalan Menteri Luar itu mendapat kelulusan pengajian di Cambridge of University di United Kingdom.

Bagaimanapun, sehari selepas itu berlaku pengubahsuaian pada Wikipedia berkenaan dengan menyatakan Cambridge International University di Amerika Syarikat.

Keadaan menjadi kontroversi apabila Marzuki pada mulanya mempertahankan pengajiannya di Cambridge of University, tetapi membuat pembetulan dengan menyatakan beliau belajar di Cambridge International University.

Kemudian seorang netizen yang mengikuti akaun Facebook Mohd Aizat, memasukkan sijil Marzuki yang telah dipinda dalam kotak markah.

Sebelum itu, netizen Fairu Zamir memberitahu kepada admin, yang beliau telah membuat sedikit pindaan pada sijil asal dengan menyatakan, “Admin, aku dah edit balik transkrip. Harap tukar transkrip lama dengan yang baru ni,” katanya.

Berdasarkan sijil sebenar, markah yang diperolehi timbalan menteri itu bagi sembilan kursus ialah dari 3.0 hingga 3.9.

Bagaimanapun, netizen membuat pindaan itu dengan menukarkan markah bagi semua sembilan kursus itu kepada 4.0.

Mungkin bagi mereka, jika dipinda kepada 4.0 dianggap sebagai logik dan munasabah untuk timbalan menteri itu mendapat gred A penuh.

Sementara itu, alamat yang menempatkan Cambridge International University (CIU) itu juga menjadi bahan lawak netizen apabila carian di laman Google hanya menemukan sebuah bangunan kedai runcit.

Carian alamat sebagaimana tertera pada sijil atau transkrip menemukan bangunan kedai runcit
Carian alamat sebagaimana tertera pada sijil atau transkrip menemukan bangunan kedai runcit

Berdasarkan sijil itu, alamat CIU ialah Suite # 1702, 14781 Memorial Drive, Houston TX 77079, wwwciuedu.us, transcript of academic record.

Namun, netizen memasukkan gambar bangunan kedai runcit sebagai bukti carian tempat CIU beroperasi. – MalaysiaGazette