P. Waytha Moorthy
P. Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy berkata, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dipilih oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas dasar kredibiliti, kekuatan politik dengan pihak akar umbi dan sumbangan beliau kepada kemenangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Mei 2018.

Waytha Moorthy berkata, isu Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia mempunyai ijazah yang tidak diiktiraf bukanlah kriteria untuk beliau dilantik di dalam pentadbiran sekarang ini.

“Marzuki telah menjelaskan isu mengapa beliau memperoleh ijazah berkenaan, yang berlaku kira-kira 17 tahun yang lepas dan ini sepatutnya sudah memadai untuk beliau meneruskan tugasnya sebagai Timbalan Menteri Luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Waytha Moorthy berkata, para pemimpin PH adalah berkredibiliti meskipun di tahap mana pendidikan tinggi mereka.

“Mereka mampu dan berupaya untuk memenuhi kehendak orang ramai yang mahukan Malaysia dipulih semula, yang kini berusaha untuk membasmi rasuah dan salah laku,” katanya.

Waytha Moorthy berkata, hingga kini, Marzuki telah melaksanakan prestasi yang bagus dalam kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Luar dan diterima baik oleh orang ramai dan para perwakilan luar.

Beliau berkata, ‘pendedahan’ bahawa Marzuki memegang ijazah yang dipertikaikan, hanya bermotifkan politik yang bertujuan untuk mencemarkan kerajaan PH oleh pihak pembangkang.

“Saya berharap rakyat Malaysia, yang mengundi untuk kerajaan baharu bagi menamatkan rejim 60 tahun itu yang diketuai oleh Barisan Nasional, akan menyedari bahawa tindakan oleh sesetengah pihak untuk mengetengahkan perkara bukan menjadi isu ini hanyalah untuk mencalar kredibiliti dan keyakinan yang diletakkan rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Marzuki menunjukkan satu salinan transkrip rekod akademik dan sijil ijazahnya dari Cambridge International University (CIU) di Amerika sebagai bukti bahawa beliau seorang lulusan CIU dan bukannya University of Cambridge, United Kingdom.

Aktivis politik, Muhsin Abdul Latheef membuat laporan polis terhadap pemegang akaun Facebook, Zulfahan Pagon yang mendakwa bahawa program pendidikan jarak jauh bagi pentadbiran perniagaan yang diambil oleh Marzuki tidak wujud di University of Cambridge.

Zulfahan Pagon memuatkan posting itu pada 3 Februari lalu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan