Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan sebahagian orang ramai yang hadir pada Majlis Pesta Ponggal bersama Masyarakat India di DUN Semenyih anjuran IPF Bahagian Hulu Langat di Taman Bangi Jaya, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa masyarakat India supaya menggunakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih 2 Mac ini untuk membetulkan kesilapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Bekas Perdana Menteri yang kini popular dengan hastag#BossKu itu mahu masyarakat India bangkit semula menunjukkan kesetiaan mereka dengan mengundi Barisan Nasional.

“Percayalah bahawa kerajaan saya pimpin dahulu dan parti BN memang memberi perhatian berat kepada kaum india.

“Walupun kita kalah PRU lalu, tapi kehadiran saya dan BN di sini di bahagian Hulu Langat kali kedua menandakan bahawa kita (BN) tak akan lupakan hubungan dengan kaum india seluruh negara yang akrab sejak dahulu lagi.

“Saya mahu kaum India sedar dan insaf bahawa sudah membuat silap pada PRU 14 lalu dan masanya telah tiba untuk membetulkan kesilapan dalam PRK DUN Semenyih kali ini,” katanya dalam ucapan di Perayaan Ponggal bersama Masyarakat India 2019 anjuran IPF Bahagian Hulu Langat di sini.

Menurutnya, sememangnya kemenangan itu tidak akan mengubah keputusan bermakna kerajaan PH kekal di peringkat Pusat.

MGF10022019_NAJIB PONGGAL SEMENYIH11 (1)

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memasak nasi manis (Ponggal) pada Majlis Pesta Ponggal bersama Masyarakat India di DUN Semenyih anjuran IPF Bahagian Hulu Langat di Taman Bangi Jaya, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 FEBRUARI 2019.

Tetapi, kata Ahli Parlimen Pekan itu, kejutan di Semenyih akan menghantar mesej jelas bahawa pengundi-pengundi Semenyih tidak mahu lagi ditipu atau diperdayakan dengan janji janji palsu PH.

“Kalau dia janji dan tak tunaikan, bermakna itu bukan Pakatan Harapan, Tetapi Pakatan yang tidak boleh diharapkan.

“Kalau anda kena tipu sekali, jangan membiarkan ditipu sekali lagi…alau kena tipu lagi, mana boleh, Jika dua kali kena tipu bermakna memang kita kena tenguk kepala kita kenapa dua kali kena tipu.

“Saya merayu kepada masyarakat kaum India, semoga membuat keputusan terbaik tanpa kesilapan pada kali ini memikirkan masa depan anda supaya terjamin,” tegasnya lagi.

Beliau turut mengeluh rakyat di negara ini terpaksa mendapatkan Bantuan Sara Hidup (BSH) di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan terpaksa mengisi lima sijil.

Ia berbeza dengan seorang pemimpin yang boleh menjadi menteri dengan hanya sijil palsu.

“Saya dapat tahu bahawa Bantuan Sara Hidup sudah dipotong pembayaran kepada 4 juta orang sahaja berbanding zaman saya BN, seramai 7 juta, malah sebelum menang janji 2,000 tetapi hanya RM1,200 sahaja.

“Malah kalau nak dapatkan Bantuan Sara Hidup, kena isi lima sijil pula.

“Kalau Menteri Persekutuan sijil palsu boleh jadi menteri tapi nak dapat bantuan BR1M lima sijil kena isi,” katanya dalam ucapan di Perayaan Ponggal Bersama Masyarakat India anjuran IPF Hulu Langat di Taman Bangi Jaya di sini.

Sehubungan itu, beliau mendesak masyarakat India supaya melakukan perubahan di Semenyih, ada semak dan imbang di peringkat kerajaan negeri Selangor.

“Lepas menang di Cameron, jika kita menang besar di Semenyih, maka satu landskap politik akan berlaku kelak,” tegasnya.

Beliau juga mahu parti komponen BN, MIC dan parti mesra BN, IPF supaya mengeratkan kerjasama politiknya supaya mewakili suara dan perjuangan masyarakat India dalam senario politik semasa.

“Masa depan masyarakat India bergantung kepada keakraban dan kerjasama erat MIC serta IPF dan saya harap IPF bersifat terbuka_,” tegas beliau.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan