Jabatan Peguam Negara. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan sentiasa patuh kepada segala arahan kerajaan selagi ia sah agar semua perbicaraan melibatkan SRC International Sdn Bhd, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes-kes lain membabitkan Kerajaan Kleptokrasi dijalankan mengikut tarikh ditetapkan mahkamah.

Peguam Cara Negara III, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria menjelaskan bahawa AGC adalah sebahagian daripada jentera kerajaan Persekutuan, dan dalam menjalankan peranan tersebut, jabatan itu menerima arahan daripada kerajaan.

“AGC akan sentiasa patuh kepada segala arahan kerajaan selagi ia sah dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang bertulis.

“Oleh itu, menjadi tugas saya selaku Peguam Cara Negara III yang bertanggungjawab terhadap pendakwaan untuk memaklumkan kepada semua timbalan pendakwa raya (DPP) terlibat berkenaan arahan kerajaan bagi memastikan kes-kes itu yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah,” katanya.

Mohamad Hanafiah mengulas tentang laporan media terhadap emel beliau kepada semua timbalan pendakwa raya, yang bocor serta tersebar dan menjadi perbualan umum baru-baru ini.

“Kini berlaku perbincangan awam mengenai kandungan emel saya berhubung pendakwaan kes-kes rasuah yang menunggu perbicaraan di mahkamah.

“Saya ingin nyatakan di sini bahawa arahan itu adalah urusan dalaman AGC. Saya terkejut bila ia bocor dan kini dalam pengetahuan awam sedangkan ia hanya dialamatkan kepada DPP yang mengendali perbicaraan SRC, 1MDB dan kes-kes lain melibatkan Kerajaan Kleptokrasi. Ia tidak dialamatkan kepada sesiapa di luar AGC,” katanya.

Mohamad Hanafiah berkata ini adalah konsisten dengan sub-seksyen 172B(4) Kanun Prosedur Jenayah yang menyebut bahawa sebarang perbicaraan mestilah dimulakan tidak lewat dari 90 hari dari tarikh tertuduh didakwa.

Selain itu, kata beliau, rakyat Malaysia begitu menunggu-nunggu perbicaraan kes-kes berkenaan untuk dimulakan.

“Demikian juga, Peguam Negara berpandangan bahawa kes-kes itu perlu disegerakan.

Oleh itu, emel saya adalah ingatan kepada DPP berkenaan bahawa kes-kes itu mestilah berjalan mengikut jadual dan tidak boleh berlaku kelewatan mengendali kes tersebut.

Dalam hal ini DPP mestilah sentiasa dan siap sedia sepenuhnya untuk mengendalikan perbicaraan kes mengikut tarikh dijadualkan.

Akhirnya, saya ingin menyatakan bahawa e-mel tersebut adalah juga satu arahan kepada DPP berkenaan bahawa sebarang permohonan bagi penangguhan akan ditentang keras dan kami tidak akan setuju dengan sebarang permohonan untuk penangguhan.

Bagaimanapun, kami ambil maklum bahawa keputusan muktamad berkaitan perjalanan sesuatu kes tersebut akan hanya ditentukan oleh hakim perbicaraan, kata beliau.

— BERNAMA

2 Komen

Comments are closed.