Gambar hiasan

KUALA LUMPUR AirAsia Bhd. dan sekutunya, AirAsia X Bhd. tidak gentar dengan ancaman tindakan undang-undang oleh Malaysia Airports Berhad berhubung kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan oleh syarikat penerbangan tambang murah itu sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail menegaskan, mereka hanya memberi maklum balas terhadap saman yang telah difailkan oleh pengendali lapangan terbang itu berkaitan Caj Perkhidmatan Penumpang sahaja.

Mengenai permintaan Malaysia Airports untuk menarik balik kenyataan-kenyataan daripada bilik berita AirAsia (AirAsia Newsroom), kedua-duanya menjelaskan, laman tersebut merupakan medium untuk mereka menyediakan maklumat terkini mengenai syarikat kepada pengamal media di seluruh dunia.

Ia menjadi sumber utama komunikasi di antara pihak syarikat dengan media berhubung sebarang sebaran maklumat terkini termasuk berita tergempar mahupun penjelasan tentang sesuatu isu.

“Kami tetap tidak berganjak dengan apa yang kami telah katakan sebelum ini dan mengekalkan pendirian kami terhadap sebarang ancaman tindakan undang-undang oleh Malaysia Airports adalah sesuatu yang tidak perlu.

“Kami akan menggunakan semua platform untuk mempertahankan diri daripada tindakan tersebut sama ada melalui orang tengah dan arbitrasi mengikut peruntukan undang-undang atau di mahkamah seperti mana yang diperlukan oleh Malaysia Airports,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (secara kolektifnya dipanggil Malaysia Airports) hari ini mengeluarkan dan menyerahkan Surat Permintaan (Letter of Demand) kepada AirAsia dan AirAsia X untuk menarik semula semua kenyataan palsu, tidak tepat dan mengelirukan daripada bilik berita AirAsia.

Malaysia Airports juga mengarahkan syarikat penerbangan tambang murah itu berhenti daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak benar terhadap mereka.

“Kami telah menerima surat permintaan tersebut.

“Walaupun tidak terkejut dengan satu lagi tindak balas undang-undang oleh Malaysia Airports terhadap kenyataan-kenyataan kami, kami pelik mengapa pengendali lapangan terbang tersebut terus menggunakan kedudukan dominan mereka serta ancaman undang-undang bagi menghalang komen-komen adil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan:

MAHB minta AirAsia tarik balik kenyataan palsu serta-merta