Hakim Rofiah Mohamad dibawa ke lokasi dan diberikan penerangan berhubung insiden pada malam Allayarham Muhamad Adib Mohd Kassim dilaporkan diserang sekumpulan orang awam berbangsa India di Kuil Sri Maha Mariamman di sini. 

SUBANG JAYA – Hakim Rofiah Mohamad dibawa ke lokasi sebelum diberikan perincian berhubung insiden pada malam Allayarham Muhamad Adib Mohd Kassim dilaporkan diserang sekumpulan orang awam berbangsa India di Kuil Sri Maha Mariamman di sini.

Beliau yang bertindak sebagai koroner dalam siasatan punca kematian Muhammad Adib itu turut diberi taklimat semasa di lokasi.

Turut serta pihak-pihak berkepentingan termasuk barisan peguam keluarga Muhammad Adib Mohd. Kasim, peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JPBM, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(Suhakam) dan Majlis Peguam.

Kumpulan ini juga melihat jentera bomba Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang terlibat dalam insiden tersebut di Balai Bomba SS17 di sini.

Turut serta dalam lawatan ke lokasi ialah Timbalan Pendakwa Raya selaku Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah, Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim Hamzah.

Allayarham Muhammad Adib yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Disember lalu cedera parah selepas dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, 27 November lalu.

Selepas kecederaan parah itu, Muhammad Adib dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira 1 pagi, sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, pada keesokan malamnya.

Bagaimanapun, Muhammad Adib disahkan meninggal dunia di IJN pada jam 9.41 malam, 17 Disember lalu. – MalaysiaGazette