Datuk Seri Najib Tun Razak. foto HAZROL ZAINAL, 10 FEBRUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak hairan apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memuji diri sendiri kerana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun 2018 di bawah Pakatan Harapan (PH) adalah pada kadar 4.7 peratus akibat “kejelasan dan kepastian polisi PH.”

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pujian itu dibuat menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan Guan Eng yang dirujuknya sebagai Menteri Kewayangan.

Kata Ahli Parlimen Pekan itu, Guan Eng mendakwa Malaysia berjaya mengalahkan Arab Saudi, Mexico dan Sepanyol namun kalah kepada Poland.

“Tidak pula Menteri Kewayangan sebut pertumbuhan KDNK negara pada tahun 2017 di bawah BN ialah 5.9 peratus.

“Tidak pula dia sebut juga bahawa unjuran KDNK negara bagi tahun 2018 sebenarnya ialah 5.5 peratus sehingga 6 peratus sebelum PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) tetapi sudah jatuh jauh di bawah unjuran selepas PH menang PRU14,” tulisnya di laman rasmi Facebook miliknya hari ini.

Najib menambah, Menteri Kewayangan juga memuji bahawa pertumbuhan eksport negara untuk suku kermpat pada tahun 2018 berjaya mencapai pertumbuhan gemilang sebanyak 1.3 peratus berbanding susut sebanyak 0.8 peratus untuk suku ketiga.

“Tetapi dia juga lupa untuk memberitahu bahawa pertumbuhan eksport negara pada suku ke-3 dan suku ke-4 tahun 2017 di bawah BN adalah 11.8% dan 7.1%.

“Menteri Kewayangan juga lupa untuk menyebut bahawa hutang rasmi negara telah naik dengan banyak kepada RM741 bilion (51.8% dari KDNK) untuk tahun 2018 di bawah mereka berbanding RM686 (50.7% dari KDNK) untuk tahun 2017 dan impian PH untuk mencapai hutang RM1 trilion akan benar-benar tercapai tidak lama lagi,” tulisnya lagi. – MalaysiaGazette