KUALA LUMPUR – Kenyataan Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan dilihat angkuh kerana berani mengugut ada pihak akan berdepan dengan hukuman skoran kegagalan RTM memberikan liputan kepada pemimpin Pakatan Harapan termasuk menterinya.

Lim Swee Kuan mendakwa, Menterinya, Anthony Loke dan Menteri Besar Negeri Sembilan tidak diberikan liputan dan percaya wujudnya elemen sabotaj.

Beliau telah membuat aduan berhubung isu itu kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya dalam ciapan di laman sosial Twitternya berkata, tindakan Swee Kuan sebenarnya mencerminkan keangkuhan.

Kata Latheefa, sepatutnya tidak ada sebarang peraturan bahawa setiap ucapan ahli politik kerajaan perlu mendapat siaran langsung.

Malah, kata pemimpin PKR itu, tindakan Swee Kuan itu seolah-olah memberi gambaran bagaimana media yang dikuasai oleh kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) diperlakukan seperti sebelum ini.

“Sebenarnya, Setiausaha kepada Menteri Pengangkutan ini perlu sedar RTM bukanlah penyiar propaganda kerajaan. Itu adalah wang pembayar cukai, jadi kita harapkan liputan yang lebih telus, seimbang dan adil.

“Jangan cuba ulangi cara kerajaan BN mengendalikan dan menguasai media sebelum ini.

“Perkataan seperti ‘rolls head’ (akan dihukum dengan tegas)  yang digunakan oleh Setiausaha Akhbar ini sebenarnya hanya menunjukkan betapa angkuhnya dia,” katanya dalam Twitter.

Latheefa juga kemudian berkongsi ciapan itu dengan Gobind Singh bagi mendapatkan perhatian beliau.

Sebelum itu, Gobind telah meminta pihak RTM untuk segera menghantar laporan berhubung insiden tersebut kepadanya, selain tidak cuba memanjangkan isu tersebut.

Swee Kuan telah mempersoalkan tindakan RTM tidak menyiarkan ucapan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sempena sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 di Dataran Centrio, Seremban semalam. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/18/rtm-sabotaj-kerajaan-ph/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/18/menteri-arah-rtm-sedia-laporan-dakwaaan-sabotaj-kerajaan/