Dr. Boo Cheng Hau- Gambar Facebook

KUALA LUMPUR – Ahli jawatankuasa DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau secara terbuka meminta Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meletakkan jawatan.

Menurut Cheng Hau, Dr. Mahathir tidak percayakan keupayaan diri sendiri dan manifesto Pakatan Harapan apabila mengeluarkan kenyataan “manifesto tersebut hanyalah satu garis panduan dan bukannya bible” yang perlu dipatuhi.

Tambahnya, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang percaya tiada perubahan yang boleh dilakukan dalam kerajaan tanpa Dr. Mahathir adalah bodoh.

Dengan itu, beliau juga meminta supaya pemimpin-pemimpin tersebut mengakui kelemahan diri sendiri dan meletakkan jawatan masing-masing.

“Saya bersyukur kerana tidak dipilih sebagai calon pada pilihanraya umum yang lalu kerana saya tidak pernah menerima kepimpinan Dr. Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan.

Cheng Hau turut menegaskan pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Harapan sepatutnya bersatu menghalang kemasukan wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional daripada menyertai PPBM atau mana-mana parti komponen.

PPBM katanya telah banyak kali melanggar konsesus dan perjanjian yang telah dibuat dalam Pakatan Harapan termasuk dalam isu menghalang amalan lompat parti.

“Negara memerlukan sistem persaingan parti yang sihat untuk memastikan reformasi institusi berjaya.

“Apa yang membimbangkan saya adalah kebanyakan wakil rakyat yang korup ini diminta untuk memberi sokongan (kepada PPBM) dan sebagai balasannya, mereka boleh lepas daripada undang-undang dan sistem kehakiman.

“Pakatan-pakatan sulit seperti ini boleh menjadi tamparan kepada rakyat yang menyokong Pakatan Harapan dan seterusnya hilang keyakinan kepada parti,” katanya lagi.

Tegasnya, penerimaan wakil rakyat BN ke dalam PPBM adalah keputusan unilateral parti berkenaan namun ia tetap memberi impak negatif kepada parti-parti komponen yang lain seperti DAP, PKR dan Amanah.

Dengan itu, Cheng Hau menggesa parti-parti komponen yang berpegang kepada prinsip masing-masing dan menunaikan janji kepada rakyat. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.