Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah menolak tawaran pengantaraan AirAsia dalam satu surat yang dihantar oleh peguam pengendali lapangan terbang itu. 

KUALA LUMPUR – Pertikaian berhubung caj khidmat penumpang (PSC) bukan semata-mata perbalahan membabitkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan AirAsia Group Berhad memandangkan ia berkaitan dengan pelaksanaan cukai lapangan terbang secara umum.

MAHB berkata, pertikaian dengan AirAsia bukan satu kes apabila kemungkinan pihak lain mungkin akan menentang pelaksanaan PSC juga.

Menurut pengendali lapangan terbang itu, kes yang sedang berjalan di mahkamah bukan situasi yang ideal tetapi ia menyediakan penjelasan berhubung perkara tersebut.

“Keputusan mahkamah akan menyediakan penjelasan kepada semua pihak dan menangani pertikaian lagi memandangkan isu berkenaan memberi kesan kepada pelbagai pihak dan pemegang kepentingan, bukan sahaja MAHB,” katanya kepada FMT.

MAHB menambah, perbezaan kutipan PSC juga memberi kesan kepada pendapatan kerajaan melalui jumlah bayaran pengguna yang lebih kecil kepada Putrajaya yang mengakibatkan ketidakadilan berlaku.

Anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap AirAsia Bhd (AAB) bagi menuntut caj perkhidmatan penumpang (PSC) berjumlah RM9.4 juta yang belum dibayar.

Manakala AirAsia pula bertindak memfailkan saman balas dengan mendakwa gangguan operasi di klia2.

MAHB sebelum ini berulang kali berkata, PSC yang dikutip oleh syarikat penerbangan daripada penumpang-penumpang yang bakal berlepas bukan ditetapkan olehnya.

Menurut MAHB, pihaknya bukan menetap atau mengawal PSC. MAHB hanya sebagai pelaksana, sama seperti syarikat-syarikat penerbangan yang sepatutnya mengutip cukai daripada penumpang. – MalaysiaGazette