Presiden Mahkamah Timbang Tara (MATE), Tan Sri Muslim Yacob (kanan) merasmikan Pusat Biro Pengaduan Awam Persatuan Penyelesaian Pengguna Dan Peminjam Malaysia (PPPPM) turut serta Presiden PPPPM, Hj Rosland Mohd Arif (kiri) di Spectrum Bandar Baru Ampang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 FEBRUARI 2019

AMPANG – Mahkamah Timbang Tara (MATE) mempersoalkan undang-undang negara ini yang tidak meletakkan sebarang  tempoh kepada individu muflis akibat kegagalan membayar hutang.

Presidennya, Tan Sri Prof. Dr. Muslim Yacob berkata, undang-undang bankrap perlu diperhalusi semula termasuk memperkenalkan proses pengampunan seperti kes jenayah  terutama melibatkan institusi perbankan.

“Kebanyakannya sekali dia bankrap, terus menerus bankrap. Tiada tempoh, tiada had. Sepatutnya kita kena ada had tempoh sekurang-kurangnya lima tahun.

“Orang masuk penjara, merompak bank, 20 tahun penjara pun boleh keluar. Tak sampai 20 tahun pun boleh keluar, ada pengampunan.

“Ini kes bankrap tiada pengampunan, terserah kepada pihak kerajaan atau pun ketua Jabatan Kebankrapan untuk menentukannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Biro Pengaduan Awam Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) hari ini.

Muslim juga mendakwa, ketiadaan tempoh muflis itu disebabkan oleh tindakan bank-bank tempatan yang menekan Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) supaya tidak ‘membebaskan’ peminjam yang bermasalah itu.

“Bank-bank ini menekan jabatan kerajaan yang menjaga hal bangkrap ini supaya orang yang sepatutnya dibebaskan daripada bangkrap tak diberi, dia tekan, dia tuntut duit dia.

“Ini satu kerja yang paling bodoh dilakukan pegawai-pegawai bank. Ini kerana mereka (bank) ini tak boleh berunding, kalau anda nak berunding dengan mereka pun, kena bercakap dengan komputer.

“Lepas itu dia tak tengok muka tuan-tuan, dia tengok komputer, lepas itu cetak keluar dan kertas itu diberi kepada kita, ikutlah itu, ini perangai bank,” tegasnya.

Muslim juga menyarankan Kementerian Kewangan mencontohi negara-negara maju yang membantu peminjam mencari jalan keluar untuk memastikan mereka boleh membayar hutang mengikut kemampuan.

“Di luar negara dia tak macam ini, kita boleh beunding dengan pegawai bank, ada terma rundingan, kita boleh berunding dengan bank.

“Kalau di England itu sangat senang berunding dengan pegawai bank, mereka akan beri jalan, kalau tak mampu apa cara, dia tak nak orang sampai bangkrap, dia tak nak orang tak bayar bank, dia nak orang bayar walaupun berapa bayaran dia terima.

“Ini tak mahu terima (bank tempatan), kalau kena bayar RM2,000, maka kena bayar jumlah itu, bila minta kurang RM500 pun dia tak akan bagi, ini perangai bank-bank kita. Saya rasa sikap bank kena ubah ini,” katanya.

Dalam hal ini, katanya lagi, kerajaan perlu campur tangan termasuk meminda undang-undang perbankan dan bangkrap sedia ada supaya peminjam tidak dibebani dengan status muflis.

“Saya harap pentadbiran kerajaan baru ini ubah, gunakan Parlimen ubah semua, kita jangan ikut perangai lama.

“Setakat ini Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) belum beri respon apa-apa, dia cuma mengarahkan bank supaya berunding atau membuat struktur baru dengan peminjam-peminjam,” katanya.

Ditanya perkara yang dibangkitkan kepada Guan Eng sebelum ini, beliau berkata antaranya sikap bank yang enggan berunding dengan peminjam dalam menyelesaikan hutang.

“Saya bangkitkan tentang masalah bank tak boleh berunding, tak mahu menghiraukan permintaan-permintaan peminjam, tak nak buat satu cara memudahkan mereka bayar pinjaman sedangkan orang itu mahu bayar.

“Jadi kena ada cara, kalau orang itu tak mampu tak boleh dipaksa, takkan nak paksa orang membayar sampai tak boleh nak makan,” katanya.

Beliau turut berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengawal selia semua bank tempatan juga gagal berbuat apa-apa dengan ‘perangai jahat’ bank di negara ini.

“Bank Negara pun tidur, dia tak buat kerja apa pun sebab apa banyak surat dihantar daripada pejabat saya, tak pernah Bank Negara jawab.

“Kalau dia jawab kepada pelanggan pun, jawapannya negatif, dia suruh orang itu berunding dengan bank juga. Dia tak menyelesaikan apa-apa masalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Inilah masalah yang kerajaan kena pandang serius dan selesaikan segera !. Di luar sana berapa ramai orang2 muflis terutama kalangan muda yang ‘ merana ‘ kerana tak dapat memperbaiki hidup selepas bekeluarga. Nak berniaga susah tak ada modal, nan bina ekonomi keluarga terhalang….Akhirnya, ada kalangan ambil jalan mudah untuk dapat wang dengan jual ‘ benda haram ‘ atau terlibat dengan perbuatan jenayah. Inilah masalah rakyat di Malaysia…..

Comments are closed.