Balu krew MH370 Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, Intan Maizura bersama anaknya Muhammad Mohd Hazrin pada Majlis Memperingati Lima Tahum Tragedi MH370 di The Square, Publika, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 03 MAC 2019

KUALA LUMPUR- Lima tahun selepas pesawat Malaysia Airlines, MH370 hilang dari radar, ahli keluarga mangsa pesawat malang tersebut masih menantikan cerita sebenar apa yang berlaku pada 8 Mac 2014 itu.

Intan Maizura Othman, isteri kepada salah seorang krew penerbangan MH370 tidak jemu berdoa dan berusaha untuk mendapatkan kebenaran di sebalik misteri kehilangan pesawat yang berlepas dari Kuala Lumpur menuju Beijing itu.

Bukan tidak redha katanya malah bukan juga tidak mempercayai hakikat suaminya telah tiada namun apa yang dipinta hanyalah sebuah kebenaran.

MH370
Intan Maizura Othman

“Saya telah lama redha.

“Sejak tahun pertama kehilangan MH370, saya sudah menerima hakikat dia telah pergi tetapi kami semua (ahli keluarga mangsa) hanya mahukan kebenaran dan kami sentiasa mengharapkan ada pihak yang tampil membawakan berita tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis Memperingati Lima Tahun Tragedi Pesawat MH370 di sini hari ini.

Menurut Intan Maizura, beliau juga tidak mempercayai kandungan laporan akhir siasatan kehilangan pesawat MH370 yang dikeluarkan kerajaan Julai tahun lalu.

MGF03032019_Lima Tahun Memperingati Tragedi MH370_39
Sebahagian ahli keluarga mangsa tragedi MH370 di Majlis Memperingati Lima Tahun Tragedi MH370 di The Square, Publika, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 03 MAC 2019

“Saya tidak percaya.

“Saya rasa mereka menyembunyikan kebenaran.

“Saya telah menyatakan perkara ini banyak kali malah laporan yang diberikan itu juga mengandungi maklumat tidak benar.

“Jika mereka mahu kami percayakan laporan tersebut, saya tidak boleh,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai teori-teori konspirasi dan khabar angin yang disiarkan di media sosial dan media antarabangsa, Intan Maizura menegaskan, beliau langsung tidak percaya.

Jelasnya, pengalaman bekerja sebagai pramugari Malaysia Airlines selama 11 tahun membuatkan beliau sangat memahami etika dan ciri-ciri keselamatan yang diamalkan oleh semua kakitangan syarikat penerbangan tersebut.

Apatah lagi laporan yang cuba memburukkan keperibadian juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah dengan mengaitkan insiden tersebut dengan kehidupan peribadinya.

“Saya tidak percaya pada teori-teori tersebut. Pada saya, sesiapa yang menulis mengenai cerita tersebut sebenarnya tidak tahu apa-apa cuma saya tidak tahu mengapa mereka sanggup membuat cerita sedemikian.

“Dari hari pertama (kehilangan pesawat MH370) saya percaya pesawat berkenaan dirampas namun atas dasar keselamatan negara, perkara ini terpaksa disembunyikan,” tegasnya.

Menyentuh mengenai kehidupan beliau bersama dua anak selepas kehilangan suami, Mohd. Hazrin Hasnan, Intan Maizura berkata, mereka cuba menjalani kehidupan senormal mungkin dan sentiasa berpegang Qadha dan Qadar.

Bagaimanapun, anak bongsunya, Muhammad Mohd. Hazrin yang tidak pernah melihat wajah bapanya sejak lahir sering bertanyakan mengenai lelaki itu.

“Anak perempuan saya sudah okay tetapi kini anak lelaki saya pula.

“Mungkin saya kena bertahan sehingga dua atau tiga tahun lagi supaya fasa ini pula berlalu,” katanya.

Ketika insiden MH370 berlaku, Intan Maizura sedang mengandung.

Acara tahunan untuk memperingati mangsa-mangsa tragedi MH370 itu dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

MGF03032019_Lima Tahun Memperingati Tragedi MH370_02
Bahagian flaperon pesawat MH370 yang ditemui di perairan Tanzania pada Majlis Memperingati Lima Tahum Tragedi MH370 di The Square, Publika, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 03 MAC 2019

Pada tahun ini, satu-satunya serpihan berupa sayap pesawat MH370 yang berjaya ditemui di Tanzania turut dipamerkan kepada umum.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan tidak terima cadangan baharu cari MH370

Nelayan bersumpah dengan al-Quran, nampak MH370 terbakar

Pencarian MH370 berakhir