Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Belum pernah dalam sejarah Malaysia, seorang ahli politik membuat kenyataan menghasut seperti Lim Guan Eng.

Presiden MCA mendakwa, sekiranya kenyataan ini keluar daripada mulut rakyat biasa, pasti mereka ditangkap oleh polis kerana menghasut.

Tetapi sebagai seorang Menteri Kabinet, sudah tentu Guan Eng terlepas daripadanya, kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Kenyataan Guan Eng ini langsung tidak boleh diterima dan beliau harus dipertanggungjawabkan di atas hasutan yang menjurus kepada kebencian antara kaum serta menjejaskan keharmonian negara.

“Apabila anda secara terbuka menyebut ia sebagai pengisytiharan perang maka anda sebenarnya sedang menambah api kemarahan.

“Anda juga secara tidak langsung telah menjemput pihak lawan untuk menyambut “pengisytiharan perang” tersebut,” tegas Ka Siong sambil menyatakan beliau tidak dapat membayangkan implikasinya jika Guan Eng tidak menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka.

Sudah tentu, tambahnya, ramai yang akan mendesak pihak berkuasa supaya menyiasat Guan Eng kerana menghasut.

“Saya ingin mengingatkan Guan Eng bahawa Pas dan DAP pernah bekerjasama sebelum ini. Malahan, mereka pernah sama-sama membentuk Kerajaan Selangor selama dua penggal.

Namun kini, PAS telah memilih rakan baharu untuk bekerjasama dalam politik.

“Bidaslah Pas dan UMNO sekiranya benar dakwaan Guan Eng itu tetapi bukanlah dengan cara mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan menggunakan frasa pengisytiharan perang antara kaum.

“Apa perasaan orang bukan Melayu apabila mereka membaca kenyataan anda?

“Apa pula tindakan orang Melayu apabila mereka membaca kenyataan pengisytiharan perang anda itu?

“Jadilah seorang ahli politik yang bertanggungjawab,” katanya.

Tambah Ka Siong lagi, sama ada sokong atau tidak sokong kerjasama antara Pas-UMNO,  itu adalah hak dan pilihan masing-masing.

Semalam, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP memberi amaran gabungan UMNO-Pas akan mengisytiharkan perang terhadap orang bukan Melayu.

Beliau mendakwa kerjasama UMNO-Pas itu turut menandakan berakhirnya konsep ‘1Malaysia’ yang disebarkan oleh pentadbiran Barisan Nasional. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kenyataan LGE menunjukan very low IQ…ini adalah hasutan. Apakah DAP sahaja yg boleh berpoliik? Sebenar LGE terlalu takut DAP akan hilang kuasa ..mungkin Perak dan Kedah akan tumbang sedikit masa lagi. Sebenarnya LGE hanya berkuasa diatas ehsan TM. Kita tunggu.

Comments are closed.