KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan Persatuan Kontraktor-kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (Kosppem) Pahang bahawa 45,000 pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah di seluruh negara diancam kehilangan pekerjaan.

KPM berkata, kenyataan Kosppem itu merupakan dakwaan yang tidak berasas dan mencetuskan persepsi negatif mengenai kementerian itu dalam kalangan rakyat.

“KPM dari semasa ke semasa akan mengkaji syarat dan kriteria tender bagi memastikan kementerian, khususnya pihak sekolah mendapat perkhidmatan yang terbaik dan selaras dengan dasar mengoptimumkan sumber kewangan kerajaan semasa.

“Sebagaimana pernah diamalkan pada masa-masa yang lalu, KPM menambahbaik format tender bagi tahun 2019 dengan mengambilkira keluasan kawasan, bilangan blok bangunan, jumlah aras keseluruhan bangunan dan bilangan kubikal tandas yang terdapat di setiap sekolah berbanding norma terdahulu yang hanya mengambil kira enrolmen pelajar dan keluasan bangunan.

“Sehubungan itu, KPM juga ingin menegaskan bahawa penyertaan kontraktor dalam tender tender adalah mengikut harga yang ditawarkan dengan spesifikasi yang telah ditetapkan,
dan bukannya bertujuan mengurangkan pekerja-pekerja yang digunakan oleh syarikat yang memperoleh tender kontrak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan laporan akhbar, Utusan Malaysia bertajuk ‘45,000 berisiko hilang kerja, Kementerian Pendidikan diminta kaji format tender baharu’.

Menurut kenyataan itu, adalah menjadi tanggungjawab majikan, iaitu syarikat yang mendapat kontrak perkhidmatan, memastikan kebajikan pekerja-pekerja mereka terjamin dan dipelihara.

Tambahnya, memandangkan penyertaan dalam tender adalah mengikut harga yang ditawarkan, maka adalah tidak adil untuk menganggap KPM bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pekerja pekerja yang diambil untuk bekerja oleh syarikat-syarikat yang menerima tawaran kontrak daripada kementerian itu.

“KPM sekali lagi ingin menegaskan bahawa penawaran kontrak baharu, yang akan dibuat dalam waktu terdekat, bagi perkhidmatan pembersihan adalah berdasarkan kepada skop dan spesifikasi yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu syarikat yang dilantik dan juga KPM.

“Sebagai sebuah Kementerian yang bertanggungjawab,KPM tidak pernah menganiaya mana-mana pihak,” ujarnya.

KPM berkata, pihaknya juga sentiasa melaksanakan penambahbaikan norma secara berperingkat bagi memastikan semua pihak iaitu Kerajaan, Kementerian dan syarikat-syarikat terbabit mendapat faedah terbaik daripada kontrak perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan
yang dilaksanakan. – MalaysiaGazette