Datuk Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak perlu tunjuk hero.

Itu tegas Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menjawab tuduhan TMJ yang kerajaan tidak merujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan menyertai Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ).

Menurutnya, semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) pelbagai polemik serta krisis kezaliman berlaku dan pihaknya telah memaklumkannya kepada Majlis Raja-Raja Melayu sebagai lambang kebergantungan rakyat jelata.

“Bukankah tindakan itu menunjukkan patik-patik sekalian mempunyai keyakinan serta mempertahankan institusi Diraja di negara kita?

“Patik juga ingin tanya TMJ di mana TMJ berada pada waktu tersebut di saat rakyat dihimpit dengan pelbagai unsur kezaliman kerajaan kleptokrasi?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairuddin, seperti yang dilaporkan keputusan jemaah menteri untuk menyertai statut itu telah disembah maklum kepada Yang DiPertuan Agong pada 15 Januari lalu.

“Apa maksud TMJ mendakwa langkah kerajaan untuk menyertainya akan menjadikan Raja-Raja Melayu tidak relevan dan memberi kesan pada kedudukan melayu serta Islam di Malaysia?” soalnya lagi.

Hakikatnya, menurut Khairuddin, para pemimpin-dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dan Islam secara habis-habisan.

“TMJ tidak harus mempersoalkan lagi pendirian kami yang selaras dengan perlembagaan negara. Tolong jangan gusar tentang perkara ini,” katanya.

Menurut beliau, semua individu tertakluk pada undang-undang dan di negara ini pun mempunyai mahkamah khas untuk membicarakan salahlaku mana-mana kerabat Diraja secara adil.

Beliau juga merasakan TMJ tidak perlu bercakap soal membela rakyat Palestin kerana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dari dahulu lagi konsisten memperjuangkan rakyat Palestin.

“Perdana menteri sanggup hilang hak untuk menganjurkan majlis sukan renang paralimpik dunia yang sepautnya dianjurkan oleh Malaysia semata-mata mempertahankan prinsip bela rakyat Palestin.

“Kalau TMJ ingat sejarah, Tun M jugalah yang menganjurkan sebuah tribunal untuk mendakwa bekas Presiden AS, Bush dan bekas Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair yang telah melakukan kezaliman jenayah perang pada suatu masa dahulu,” katanya.

Dalam masa yang sama, Khairuddin bersedia untuk duduk semeja dan bersama-sama TMJ untuk membela rakyat Palestin.

“Untuk pengetahuan TMJ tidak ada sesiapa pun yang boleh terlepas dari kezaliman atau jenayah melampau di dunia ini.

“Hanya cara dan kaedah perbicaraan saja yang bakal menentukan kesalahan seseorang itu mengikut asas perlembagaan negara mahupun undang-undang antarabangsa,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/11/statut-rom-kerajaan-tidak-rujuk-majlis-raja-raja/