Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya (tengah) bercakap pada sidang media khas di Pejabat UMMAH, Ampang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) sedia bertemu dengan pemimpin tertinggi UMNO dan Pas dalam menjayakan penyatuan ummah di antara dua parti tu.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, pertemuan tersebut dijangka diadakan selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau nanti.

“Selepas itu, kami mahu bertemu pemimpin UMNO dan Pas bagi meluahkan isi hati UMMAH yang mewakili lebih 300 NGO Islam di negara ini.

“Pada masa sama, kami ingin menyokong kerjasama rasmi antara dua parti yang diumumkan baru-baru ini.

“UMMAH menyambut baik pengumuman itu kerana ia sudah lama ditunggu-tunggu oleh umat Islam di negara ini yang majoriti adalah orang Melayu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat UMMAH hari ini.

MGF12032019_PC UMMAH01
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya. foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2019.

Sidang media itu diadakan bertujuan menjelaskan pendirian UMMAH mengenai pelbagai isu kebelakangan ini seperti penghinaan terhadap Nabi Muhammad dan cadangan pemansuhan hukuman mati.

Aminuddin turut menegaskan, penyatuan ummah antara UMNO dan Pas amat penting demi kemaslahatan agama Islam dan orang Melayu tanpa meminggirkan kaum lain.

Jelas beliau, ini kerana perpaduan itu merupakan nilai baik bagi mencapai keharmonian dan kemakmuran rakyat negara ini yang biasanya ditentukan oleh kaum majoriti.

“Jadi pendapat yang mengatakan Malaysia akan jadi seperti Taliban jika UMNO dan Pas bersatu tidak betul sama sekali.

“Kita perlu tolak kenyataan songsang ini yang semata-mata untuk keuntungan politik kerana jika tidak dibendung, boleh menjadi ketegangan antara kaum.

“Malah kenyataan seperti penyatuan dua parti boleh jadi kacau bilau dan cetus perangan tidak wajar diambil perhatian.

“Islam tidak pernah ajar umat meminggirkan kaum lain dan galak berperang,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin turut memberitahu, UMMAH akan menghantar memorandum kepada kerajaan bagi menentang cadangan memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Tegas beliau, cadangan tersebut merupakan satu agenda untuk mengkucar-kacirkan keharmonian negara ini. – MalaysiaGazette