Penerbit Filem Kuttram Seiyel, Dr. S. Selvamuthu (kiri) bersama Pengarahnya, Bharathirajaa pada tayangan premier Filem Kuttram Seiyel di LFS - State Cineplex PJ, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 26 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Siapa sangka filem ‘Kuttram Seiyel’ keluaran tempatan bukan sahaja mendapat pelbagai kritikan positif mahupun sebaliknya, namun sejak mula tayangan minggu lepas terdapat segelintir pihak mendesak masyarakat supaya tidak menontonnya.

Apa yang lebih mengecewakan, yang mendesak itu juga dalam kalangan penggiat seni tempatan dengan menuduh filem tersebut telah menggunakan perkhidmatan krew serta pelakon dari India bagi penghasilan Kuttram Seiyel.

Kuttram Seiyel diterbitkan oleh Cini Shatriya Sdn Bhd dengan kerjasama Astro Vaanavil dengan tunjang belakangnya, penerbit selain pengasas produksi, Dr S Selvamuthu ini telah banyak menggunakan bakat baharu tempatan.

MalaysiaGazette yang sempat berbicara dengan pengarahnya, Bharathirajaa melahirkan kegusaran namun gembira kerana setiap kritikan walaupun ada antaranya tidak membina, namun beliau dan bapanya, Dr Selvamuthu tetap menerimanya dengan hati terbuka.

“Tidak apa, mungkin yang mengkritik itu tidak faham atau kisah dengan keperitan kita menghasilkan filem ini. Pada kami, menggunakan bakat tempatan dan menggabungkannya dengan kepakaran dari India sangat baik daripada pelbagai aspek.

“Kami juga masih baru dan dalam tempoh belajar dengan lebih mendalam tentang industri ini, tidak ada salahnya untuk berterusan belajar bagi menghasilkan yang lebih baik dari ini kelak.

“Mungkin umum atau pengkritik tidak tahu, sejak mula menubuhkan Cini Shatriya Sdn Bhd pada 2015, kita telah memberi peluang kepada hampir 230 pelbagai bakat dengan penghasilan tiga buah filem setakat ini.

“Kami masih lagi ‘setahun jagung’ jadi maaflah. Tetapi pada masa yang sama, kami tetap bangga dengan apa yang mampu kami sumbangkan sehingga kini, kepada yang memahami dan telah menyokong tanpa berbelah bahagi, terima kasih tidak terhingga,” katanya sambil tersenyum.

MGF26022019_KUTTRAM SEIYEL_12
Penerbit Filem Kuttram Seiyel, Dr. S. Selvamuthu bersama Pengarahnya, Bharathirajaa bergambar kenangan bersama barisan pelakon dan tetamu jemputan pada tayangan premier Filem Kuttram Seiyel di LFS – State Cineplex PJ, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 26 FEBRUARI 2019

Kuttram Seiyel membawa mesej ‘berat’ walaupun jalan ceritanya menjurus kepada aksi komedi itu mengetengahkan isu gasterisme yang sehingga kini masih lagi menghantui komuniti India di negara ini.

Ia berkisar bagaimana seseorang itu dengan mudah mengambil jalan menyertai dunia ‘gangster’ namun tidak dapat berpatah balik, sekali gus menghancurkan kehidupannya.

Ketika tayangan perdana baru-baru ini diadakan di PJ Lotus, Dr Selva yang membawakan watak ‘gangster’ bernama Bavani itu berkongsi pengalaman hidup beliau ketika zaman mudanya.

MGF26022019_KUTTRAM SEIYEL_03
Dr. S. Selvamuthu

“Sebelum saya menjadi seorang doktor berjaya pada hari ini selama hampir 25 tahun ini, satu ketika dulu, saya juga pernah berjinak-jinak dalam dunia itu. Seandainya ketika itu saya tersilap langkah, anda tidak akan nampak saya hari ini, menghormati saya sebagai seorang doktor profesional.

“Malah saya kini berbangga kerana memiliki produksi saya sendiri selain daripada menerbitkan filem serta drama tempatan, saya juga berlakon bukan kerana apa, kerana sememangnya itu adalah minat sejak kecil.

“Mungkin juga penghasilan filem ini melalui pengalaman hidup saya juga, hakikatnya kadang-kadang mesej boleh disampaikan melalui penghasilan filem dan cara-cara lain, ini adalah antara cara menyumbang kepada masyarakat dengan cara tersendiri,” ujarnya.

Filem Kuttram Seiyel (Jangan Buat Salah) yang membuka tirainya pada 7 Mac lepas ditayangkan di hampir 50 buah pawangam seluruh negara.

Kuttram Seiyel yang merupakan kerjasama antara India-Malaysia ini menampilkan watak utama dari India, Bose Venkat, Vijith, Sam selain daripada Dr Selvamuthu sendiri.

Selain menampilkan dua pengarah, A. Venkatesh dari India dan Bharathirajaa, mereka juga telah membawa masuk pengarah muzik baharu, Arvin Raj dengan menghasilkan tiga buah lagu termasuk Annanukku Porandha Day yang dinyanyikan oleh Gana Bala, penyanyi India Selatan. – MalaysiaGazette

Kuttram Seiyel1

Kisah Dr Selva, Bharathirajaa dan filem Tamil tempatan

Tinggalkan Jawapan