Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR- Kerajaan berjanji akan melakukan apa sahaja bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di New Zealand.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau berharap kerajaan New Zealand berjaya menangkap pengganas-pengganas berkenaan dan mengenakan tindakan undang-undang yang sepatutnya kepada mereka.

“Saya sangat kesal melihat kejadian yang berlaku di dua masjid dekat Christchurch di mana 40 orang telah mati ditembak ketika menunaikan solat Jumaat.

“Saya berharap kerajaan New Zealand akan menangkap pengganas-pengganas tersebut dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Di pihak kerajaan (Malaysia) pula, kami akan melakukan apa sahaja yang termampu untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di sana.

“Doa dan ingatan dikirimkan kepada mangsa dan keluarga insiden tersebut,” katanya di dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Dalam kejadian 1.40 tengahari waktu tempatan (8.40 pagi waktu Malaysia) hari ini, seorang rakyat Malaysia disahkan telah tercedera akibat insiden tembakan di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand.

Perkara tersebut disahkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi juga meminta rakyat Malaysia yang terjejas dalam insiden itu dan memerlukan bantuan agar menghubungi mereka di talian +64210440188 atau [email protected]. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Rakyat Malaysia cedera dalam insiden tembakan di masjid di Christchurch

Angka korban serangan masjid meningkat kepada 49 orang