Rayer
RSN Rayer.

GEORGE TOWN – Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer hari ini meminta pihak polis membuka siasatan terhadap seorang individu yang melakukan ugutan jenayah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam media sosial semalam.

Rayer berkata lelaki yang tidak dikenali itu telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan mengugut Lim turun berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, Negeri Sembilan.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa akan melakukan sesuatu terhadap Lim sekiranya Lim turun untuk berkempen di PRK Rantau dan itu adalah satu ugutan jenayah.

“Saya meminta supaya polis siasat kes ini dengan segera dan menahan lelaki berkenaan untuk dituduh di mahkamah kerana mengeluarkan kenyataan yang mengancam dan menggugat keselamatan Lim,” katanya selepas membuat laporan polis bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Seri Delima, Syerleen Abdul Rashid di Balai Polis Jalan Patani di sini hari ini.

Rayer juga berkata dakwaan lelaki berkenaan yang mengatakan bahawa Lim telah mengusir penduduk Pulau Pinang daripada Taman Manggis baru-baru ini adalah tidak benar.

Sementara itu, ADUN Bagan Dalam, M. Satees dan pembantu peribadi Lim Guan Eng, Tan Khon Chong turut membuat laporan polis di Balai Polis Butterworth berhubung perkara yang sama.

— BERNAMA