Tamrin Ghafar
Tamrin Ghafar

KUALA LUMPUR – Tindakan sambil lewa ditunjukkan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dalam menangani isu keracunan toksid di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang sempat melawat Batam sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab.

Bekas pemimpin UMNO, Datuk Tamrin Ghafar berkata, apa yang dilakukan Menteri Besar itu menunjukkan beliau seolah-olah tidak siuman.

Katanya, sehingga hari ini, mangsa yang disahkan sakit akibat terhidu gas beracun toksid itu meningkat kepada hampir 4,000 orang termasuk kanak-kanak, murid dan pelajar.

“Apabila insiden ini mula berlaku pada 7 Mac lalu, sepatutnya kerajaan Johor di bawah kepimpinan Osman mengambil tindakan drastik tanpa menunggu arahan atau keadaan menjadi lebih serius.

“Akibat sikap lewa beliau, sebanyak 111 sekolah, Kampus UiTM dan Politeknik Pasir Gudang terpaksa ditutup bagi mengelak keadaan lebih parah,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Sehingga hari ini, mangsa yang terkesan akibat pencemaran itu dan dirawat adalah seramai 3,976 orang, melibatkan 17 masih di wad dan 244 mangsa baharu.

Jumlah itu merupakan pesakit yang dikumpul dari seluruh Pasir Gudang dan beberapa kawasan lain.

Menurut Tamrin, apa yang mengejutkan berlaku di Johor ketika insiden itu masih dalam keadaan kelam kabut ialah sikap tidak bertanggungjawab Osman meneruskan lawatannya ke Batam.

“Sehari selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad membatalkan segala urusan yang telah diaturkan bagi membuat lawatan ke tempat kejadian dan melawat mangsa di hospital di Johor, boleh pula Menteri Besar menaiki bot ke Pulau Batam.

“Apakah lawatan itu tidak boleh ditangguhkan sehingga insiden ngeri yang menimpa rakyat Johor itu selesai?

“Mungkin program di Batam itu telah diatur lebih awal, tapi sebagai seorang pemimpin yang diamanahkan menjaga negeri Johor, beliau sepatutnya mengutamakan rakyatnya terlebih dahulu,” ujar beliau.

Katanya, membatalkan, apatah lagi mengangguhkan lawatan dan perundingan atas perkara tertentu seperti yang berlaku di Pasir Gudang itu tidak menjadi isu.

“Bukankah tidak lama dulu beliau menyarankan kepada anggota Exco, ADUN, pegawai dan kakitangan awam kerajaan Johor agar mencontohi cara dan corak kerja Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau yakin jika Osman tidak mengundurkan diri secara terhormat atau diberhentikan dalam masa terdekat, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Johor pasti akan ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Seperti mana mereka menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional pada PRU 14 Mei tahun lalu,” tegasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/16/mb-johor-elak-jawab-soalan-kenapa-pergi-batam/