Dr Ahmad Hafizam Hasmi

SHAH ALAM – Laporan bedah siasat ke atas Muhammad Adib Mohd Kassim menunjukkan paru-paru anggota bomba itu cedera akibat tertusuk tulang rusuk yang patah dibahagian kanan hadapan.

Demikian pengesahan Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi sebagai saksi ke-24 hari ini kepada Mahkamah Koroner.

Ia berdasarkan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) yang mendapati tulang rusuk kedua hingga kelima anggota bomba itu patah.

“Tulang rusuk kanan ke-2 hingga ke-5 patah pada bahagian depan dan sisi. Tulang rusuk ke-3 patah pada 3 tempat dan tulang rusuk ke-4 patah di 2 tempat. Patah ini boleh dilihat pada CT Scan.

“CT Scan ini dibuat sebelum mayat dibedah siasat. Menerusi lampiran gambar turut menunjukkan tulang rusuk kedua hingga kelima pada bahagian kanan.

“Hujung tulang rusuk keempat dan kelima tertusuk ke bahagian paru-paru kanan,” katanya dalam inkues menentukan punca kematian Adib di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Akibatnya, paru-paru Adib menunjukkan kecederaan yang teruk.

Selain itu hasil bedah siasat Adib turut menunjukkan otaknya dan hatinya bertukar sedikit kehijauan akibat tindak balas sejenis ubat yang diberikan kepadanya di Institut Jantung Negara (IJN).

“Saya seterusnya menjalani pemeriksaan dalaman di bahagian kepala, mulut dan leher.

“Kulit kepala tidak menunjukkan kecederaan, tulang tengkorak dan dasar tengkorak tidak pecah atau retak.

“Otak si mati bengkak dan berwarna kehijauan seperti saya nyatakan dalam laporan bedah siasat. Tidak ada pendarahan dalam selaput otak atau tisu otak.

“Otak yang warna hijau ini disebabkan sejenis ubat yang diberikan sewaktu si mati dirawat di Institut Jantung Negara. Otak manusia yang normal tidak warna kehijauan.

“Ia berlaku akibat tindak balas ubat,” tambahnya.-MalaysiaGazette