Tun Dr Mahathir Mohamad
Dr. Mahathir Mohamad

SERDANG – Kesemua 1.7 juta penjawat awam khususnya yang menganggotai Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) digesa bekerjasama dengan kerajaan untuk memulihkan kewangan negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penjawat awam boleh membantu kerajaan dengan mengikat perut untuk mengurangkan perbelanjaan jabatan dan agensi masing-masing.

“Saya harap kita boleh bersabar, Insya-Allah kalau kita boleh bekerjasama dalam keadaan aman dan tenteram, maka kita akan dapat pulihkan kewangan dan pembangunan negara kita

“Hari ini kita telah berjaya mengurangkan sedikit hutang yang diambil oleh kerajaan terdahulu. Tetapi untuk menghapuskan hutang sebanyak lebih RM1 trilion, seluruh rakyat termasuk kerajaan dan anggota kerajaan perlu ikat perut sikit supaya kita dapat kurangkan perbelanjaan biasa dan kita bayar hutang.

“Kalau kita berfikiran Insya-Allah, kita akan dapat jelaskan hutang-hutang kita, selepas kita jelaskan hutang-hutang ini, maka pendapatan kerajaan akan meningkat.

“(Kemudian) boleh digunakan untuk membantu sara hidup rakyat khususnya mereka yang bekerja dengan kerajaan dan berada dalam Cuepacs ini,” katanya berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Perdana Cuepacs di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, di sini, hari ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sambil diiringi Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Haji Bakar (kiri) dan Presiden CUEPACS, Datuk Haji Azih Muda (kanan) menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama strategik CUEPACSCARE dengan Pos Malaysia iaitu Ketua Pegawai Operasi Pos Malaysia, Abdul Razak Mohd Abdul Kadir (dua kiri) dan Pengarah Pembagunan Perniagaan MediCare, Palanisamy Krishnan (dua kanan) pada Majlis Perhimpunan Perdana CUEPACS bersama YAB Perdana Menteri di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 25 MAC 2019

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda.

Dr Mahathir juga berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijangka dapat mengurangkan RM1 trilion hutang negara selewat-lewatnya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Saya merayu kepada rakan-rakan dalam Cuepacs supaya memberi kerjasama dan bersabar sementara kita pulih semula negara kita.

“Insya-Allah kalau keadaan dalam negara ini aman, tiada tindakan liar, kita yakin dalam jangka masa tiga tahun kita akan dapat pulih semula.

“Ia cukup untuk membiayai satu kerajaan yang cekap dan berdisiplin yang menyumbang kepada penurunan kos pentadbiran dalam negara kita ini

“Insya-Allah sudah ada banyak rancangan yang dibuat oleh kerajaan yang boleh mengatasi masalah kewangan dan pentadbiran yang terdapat dalam negara kita hasil daripada kerajaan terdahulu, yang tidak bertanggungjawab dan telah mengganas dan mencuri wang rakyat dan negara,” katanya.

Dr Mahathir turut memuji sikap yang ditunjukkan oleh kepimpinan Cuepacs yang sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam menangani pelbagai permasalahan yang melibatkan penjawat awam di negara ini.

“Kita mengalu-alukan Cuepacs tidak bertindak ganas seperti negara lain, sebaliknya kita ada hubungan rapat dgn kerajaan baharu supaya dapat rundingkan dengan anggota kerajaan dalam Cuepacs,” katanya. – MalaysiaGazette