Tabung haji
Orang ramai diminta tidak menyerahkan sebarang deposit kepada mana-mana pihak selagi tidak mendapat surat tawaran.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak pernah mencairkan semua aset miliknya bernilai RM19.9 bilion yang dipindahkan kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik Kementerian Kewangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, sebaliknya berkata, SPV telah melakukan proses pemulihan terhadap aset yang dipindahkan menerusi strategi penstrukturan semula.

“Sehingga kini tiada sebarang aset dipindahkan daripada TH kepada SPV telah dicairkan. Pemindahan aset berkenaan kepada SPV adalah sebahagian usaha mengembalikan keadaan kewangan TH kepada normal dan mempercepatkan pemulihan kewangan institusi itu.

“Yang Berhormat Pendang (Awang Hashim) kena beritahu orang di bawah tiada aset (TH) yang dicairkan sehingga hari ini daripada nilai RM19.9 bilion semua aset yang telah dipindahkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Awang (PAS-Pendang) yang ingin mengetahui sama ada aset anak syarikat TH yang telah dicairkan melalui SPV) yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan dan sekiranya ada, aset mana dan berapa perolehannya.

Menjawab soalan tambahan Awang mengenai siapa yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif SPV, Mujahid berkata, SPV itu dikenali sebagai Urus Harta Jemaah Sdn. Bhd..

“Lembaga Pengarah terdiri daripada pegawai Kementerian Kewangan dan seorang pengarah bebas yang berpengalaman manakala pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc),” katanya.

Namun ketika memberi jawapan, Mujahid terus diasak Awang dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-UMNO Baling) yang mempersoalkan jawapan Mujahid kerana tidak mendedahkan nama ahli lembaga pengarah terbabit.

Keadaan menjadi tidak kecoh beberapa minit apabila lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan masuk campur dan bertikam lidah dengan Mujahid. – MalaysiaGazette