Anggota polis mengiringi seorang pegawai kanan polis dan dua orang penjawat awam berhubung kes pusat urut haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 27 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Ketua Balai Polis Setapak, Asisten Superintendan Sherman Salleh, Lans Koperal, Faizal Merza Zakariah serta seorang pegawai bomba mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Jenayah di sini hari ini.

Bagi pertuduhan pertama yang dibacakan bersama itu, kedua-dua  anggota Polis Diraja Malaysia itu didakwa secara bersama sama telah meminta suapan iaitu wang sebanyak RM3,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa apa tindakan terhadap Pusat Urut Angel beralamat di Blok F-45-1 Platinium Walk, No,2 Jalan Langkawi di Setapak yang dimiliki syarikat Redanskl Enterprise.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 November 2018 antara pukul 8 hingga 10 malam bertempat di sebuah restoran, Hayaki Kopitiam di Platinium Walk Setapak.

Mereka didakwa menerima wang suapan itu daripada Gilbert Juin Anak Damu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kertas pertuduhan pertama bagi kedua-dua tertuduh dibacakan bersama di hadapan Hakim Azura Alwi oleh jurubahasa mahkamah.

Sherman, 42, dalam pertuduhan keduanya didakwa melakukan satu lagi kesalahan iaitu secara rasuah memperoleh satu suapan wang sebanyak RM3,000 daripada Gilbert Juin Anak Damu sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa apa tindakan terhadap Pusat Urut Angel Massage yang terletak di alamat yang sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 3 Disember 2018 di antara pukul 9 malam dan 10 malam bertempat di hadapan Dobi Speedy Wash beralamat di F-43-0 Jalan Langkawi, Platinium Walk Setapak, Kuala Lumpur.

Sherman dituduh mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Manakala Faizal Merza, 35, pula dalam pertuduhan kedua yang dibaca secara berasingan oleh juru bahasa mahkamah didakwa melakukan satu kesalahan telah secara rasuah memperoleh satu suapan wang sebanyak RM3,000 daripada individu sama.

Faizal dituduh melakukan kesalahan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa apa tindakan terhadap Pusat Urut Angel di alamat yang sama di Setapak pada 11 Januari 2019 antara pukul 11 malam dan 12 malam di hadapan Restoran Ayam Gepuk Pak Gembus di 55-G Jalan Langkawi Platinium Walk.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 17 9 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagaimanapun mereka yang mengangguk sebagai memahami dakwaan yang dihadapi dan mengaku tidak bersalah dan memohon perbicaraan.

Manakala tertuduh ketiga, pegawai bomba di Bahagian Keselamatan Kebakaran Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Mohd Fadzli Jamaluddin didakwa melakukan satu kesalahan rasuah pada 5 November 2018 lalu antara pukul 8 malam dan 11 malam bertempat di Pusat Urut Angel.

Dia didakwa secara rasuah bersetuju menerima satu suapan wang RM500 daripada Gilbert Juin Anak Damu sebagai tindakan menyokong permohonan Kelulusan Lesen Perniagaan premis Redantz KL Enterprise melalui sistem E-Lesen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dibawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bagaimanapun Fadzli yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Pendakwaan ke atas ketiga tiga tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Abdul Rashid Sulaiman.

Tertuduh Sherman diwakili peguambela, Ahmad Ishrakh Saad dan Faizal Mirza pula diwakili Datuk Gethan Ram Vincent.

Abdul Rashid juga memohon mahkamah supaya kedua-dua tertuduh Sherman dan Faizal Mirza dikenakan nilai jaminan RM20,000 setiap seorang dengan syarat menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Bagaimanapun Ahmad Ishrakh meminta mahkamah tidak mengguna pakai syarat kedua penyerahan pasport kerana anakguamnya tidak memiliki dokumen berkenaan untuk diserahkan.

“Yang Arif, tertuduh berumur 43 mempunyai tanggungan dua orang anak berusia dua tahun dan dua bulan, bapanya berusia 68 tahun dan telah berkhidmat selama 18 tahun dalam PDRM.

“Tertuduh faham pertuduhan dan memohon mengambil kira jumlah jaminan dicadangkan supaya dikurangkan RM10,000 ditawarkan untuk kedua-dua pertuduhan,” katanya.

Manakala Gethan Ram bagi pihak Faizal Mirza pula dalam hujahnya menyatakan jumlah jaminan yang dituntut DPP iaitu RM20,000 adalah keterlaluan.

Beliau meminta mahkamah mengambil kira tujuan wang jaminan adalah untuk menghadirkan tertuduh ke mahkamah.

“Yang Arif, saya telah menyertakan beberapa nas nas beserta hujah dan saya memohon mahkamah perlu mengambil kira fakta fakta bahawa dia berkhidmat sebagai anggota polis di Balai Setapak selama 16 tahun dengan gaji bersih RM1, 800 sahaja.

“Tertuduh juga memberi aku janji akan hadir untuk setiap sebutan dan perbicaraan yang akan ditetapkan mahkamah selepas ini dan saya hendak menambah syarat tambahan iaitu tertuduh juga aku janji kesediaan lapor diri di pejabat cawangan SPRM maka wang jaminan harus dipertimbangkan dan dicadangkan supaya dikurangkan kepada RM5,000,” katanya.

Dalam pada itu Fadzli dengan muka sedih merayu mahkamah mengurangkan wang jaminannya serendah yang boleh dengan mengambil kira keadaan semasa.

“Saya memohon Yang Arif memberi jaminan serendah yang boleh kerana saya mempunyai empat orang tanggungan termasuk ibu berusia 78 tahun.

“Saya sudah kahwin tetapi telah hilang pekerjaan sekarang manakala tiga orang anak masih bersekolah dan biras saya hadir untuk jadi penjamin Yang Arif,” katanya sambil mengakui dia tidak diwakili peguam.

Azura Alwi membenarkan Sherman dan Faizal Mirza diikat jamin dengan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan disyaratkan untuk melapor diri di SPRM berhampiran setiap awal bulan sehingga kes selesai.

Bagi Fadzli, beliau memberikan tempoh tertentu kepada tertuduh melantik peguambelanya untuk kes selepas mendengar rayuannya.

Beliau menetapkan 18 April ini untuk sebutan kes ketiga tiga tertuduh.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan