Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (dua kanan) berbual dengan ibu kepada pesakit buah pinggang, Azri Ismail sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Ulu Kanchong, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 31 MAC 2019.

PRK RANTAU – Kerajaan tidak sesekali akan meminggirkan permasalahan dan penderitaan yang dihadapi rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited dan mempunyai tanggungjawab mengambil peduli denyutan nadi dan derita setiap masyarakat.

“Kita datang tengok sendiri.. eloklah kalau kalau kita datang tengok sendiri bagaimana kita boleh tolong dan sebagainya.

“Mendengar denyut nadi derita rakyat.insyAllah kita bersama- sama membantu,” katanya ketika melawat beberapa keluarga memerlukan bersempena Program Jejak Asnaf di Kampung Ulu Kanchong dekat Seremban petang tadi.

Dalam kunjungan selama hampir dua jam itu, Wan Azizah menemui beberapa penduduk yang mempunyai masalah kesihatan seperti kerosakan buah pinggang, kanser rahim dan golongan warga emas yang uzur.

Dalam pada itu,  seorang warga emas, Rosnah Sulaiman, 59, dari Kampung Tanjung Rantau menyatakan kesyukuran dengan kunjungan mengejut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

Rosnah yang merupakan ibu tunggal beranak lima sedang menjalani rawatan kimoterapi dan radiaoterapi di Hospital Seremban.

Beliau telah didiagnos menghidap kanser rahim tahap keempat sebelum rahimnya dialihkan menerusi pembedahan mengelak daripada merebak.

“Awal bulan Januari tahun ini dikesan menghidap kanser rahim sebelum dikeluarkan menerusi pembedahan sekarang baru selesai menjalani kimoterapi setiap 21 hari sekali untuk tempoh yang ditentukan pakar dan juga perlu menjalani radioterapi sebanyak 25 kali.

“Sangat penat dan kaki pula bengkak selepas menjalani rawatan itu tetapi doktor menasihati minum air masak dan jus buah,” katanya.

Beliau mempunyai lima orang anak dan tinggal di Tanjung, Rantau dengan menyara diri menggunakan bantuan Perkhidmatan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi arwah suami yang meninggal dunia pada tahun 2009.

Selain itu, seorang bekas tentera dan ibunya turut menerima kunjungan pemimpin nombor dua kerajaan itu.

Azri Ismail, 40, menghidap penyakit buah pinggang yang gagal berfungsi dan sedang menjalani rawatan dialisis setiap bulan.

Beliau bersama ibunya tinggal dengan tujuh beradik di Ulu Kanchung dengan segala keperluan harian ditanggung bapa saudaranya dan mengakui teruja menerima kunjungan Wan Azizah.- MalaysiaGazette