Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) optimis untuk mencapai sasaran kutipan cukai RM147 bilion yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang mencabar, agensi berkenaan setakat ini sudah berada di landasannya untuk mencapai sasaran tersebut.

“Saya tidak boleh mendedahkan berapa kutipan yang telah dibuat tetapi kita sudah berada di landasan (untuk mencapai sasaran),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Percukaian Malaysia 2019 di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Sabin berkata, LHDN mencatatkan prestasi di luar jangkaan dengan berjaya mengutip cukai langsung sebanyak RM137.035 bilion, meningkat 11.13 peratus atau RM13.723 bilion berbanding 2017.

Katanya, prestasi LHDN dalam beberapa tahun lalu mempunyai perkaitan positif dengan Keluaran Dalam Negara Kasara (KDNK) negara.

Persidangan cukai itu dianjurkan secara bersama oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA).

Sabin berkata, LHDN juga sedang membangunkan platform teknologi maklumat (IT), dikenali sebagai Transformasi Hasil.

Beliau berkata, platform IT itu ialah sistem pangkalan data bersepadu yang akan mengubah proses kerja LHDN. MalaysiaGazette