Hubungan India-Pakistan tegang susulan kejadian pengebom berani mati membabitkan polis tentera. foto Agensi

MULTAN – Tentera India mungkin menyerang Pakistan kurang daripada dua minggu, dakwa Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood Qureshi yang memetik ‘risikan boleh dipercayai’.

Hubungan kedua-dua negara nuklear itu tegang pada pertengahan Februari lalu.

“Kami mempunyai risikan yang boleh dipercayai bahawa India merancang melakukan serangan baharu ke atas Pakistan. Maklumat kami menyatakan ia mungkin berlaku antara 16 hingga 20 April,” kata Qureshi.

Menteri itu yang melawat kampung halamannya, Multan semalam memberitahu pemberita bahawa Pakistan berkongsi kebimbangannya itu dengan lima anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, lapor RT.

Qureshi bagaimanapun tidak memperincikan bukti dakwaan Islamabad itu, namun membayangkan beliau menyatakan demikian atas arahan Perdana Menteri, Imran Khan.

Semalam, Pakistan memanggil envoi Delhi dan melaporkan bantahan terhadap sebarang langkah-langkah drastik yang berpotensi diambil.

“Timbalan Pesuruhajaya Tinggi India telah dipanggil selari dengan taklimat Kementerian Luar hari ini dan memberi amaran terhadap sebarang insiden,” kata jurucakap Kementerian Luar Pakistan, Mohammad Faisal dalam akaun twitternya.

India tidak membuat sebarang kenyataan balas terhadap dakwaan itu.

Ketegangan antara kedua-dua negara meningkat pada tahun ini selepas insiden serangan bom berani mati yang mengorbankan nyawa berpuluh-puluh polis India di wilayah Kashmir pada pertengahan Februari lalu.

Dua minggu selepas itu, pesawat perang India melakukan serangan udara di kawasan Pakistan dengan menyasarakan apa yang India sifatkan sebagai kem latihan kumpulan militan.

Berikutan itu, Pakistan membalas dengan melakukan serangan ke atas Kashmir yang dikuasai India keesokan hari yang menyaksikan petempuran tentera udara kedua-dua buah negara.

India kehilangan sebuah jet pejuang yang didakwa ditembak jatuh salah sebuah pesawat F-16 milik Pakistan, namun negara itu menafikannya.

Ketegangan berkurangan beberapa hari selepas itu dengan Islamabad membebaskan juruterbang India yang ditawan .

Tuduhan yang dilakukan kedua-dua negara menyebabkan hubungan tegang.

India mendakwa Pakistan melindungi Jaish-e-Mohammed, kumpulan militan di belakang pengeboman berani mati itu selain tidak membantu menghalang aktiviti keganasan mereka.

Pakistan pula mendakwa parti pemerintah India, Bharatiya Janata Party (BJP) mencetuskan ‘peperangan histeria’ sebelum pilihan raya di negara itu. – Agensi