Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun. foto IQBAL BASRI, 02 MAC 2019

RANTAU – Seramai 20,793 daripada 20,804 pengundi biasa layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Kecil (DUN) Rantau pada Sabtu ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun berkata, daripada jumlah itu seramai 11 orang telah mengundi melalui pospengundi diminta merancang masa dan keluar pada awal pagi.

“Jangan memilih untuk keluar mengundi di saat-saat akhir walaupun waktu mengundi telah ditetapkan dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Azhar Azizan, pengundi yang telah menerima Kad Pengundi (Voter’s Card) atau yang telah mengetahui maklumat pengundian boleh terus ke saluran mengundi.

Katanya, pengundi yang sudah menerima Kad Pengundi tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR pada hari mengundi biasa nanti.

“Manakala, bagi pengundi yang tidak menerima Voter’s Card kerana kemungkinan telah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

“Pengundi Rantau boleh membuat semakan dengan melayari portal rasmi SPR di www.spr.gov.my; atau menghubungi talian 03-88927018 atau menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak.

“Pengundi juga boleh menghantar Khidmat Pesanan Ringkas SMS ke 15888 (taip SPR<jarak>SEMAK<jarak>NO.KAD PENGENALAN),” jelas beliau.

Dalam pada itu Azhar Turut menyarankan pengundi ketika membuat semakan supaya mencatat dan menyimpan maklumat maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

“Selain itu pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan Voter’sCard atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Kad Pengundi dan catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

“Selain itu, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” kata beliau. – MalaysiaGazette