Peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah bercakap kepada media selepas hadir ke mahkamah bagi membela anak guamnya yang menghadapai pertuduhan kes berhubung dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan perlu membuktikan Datuk Seri Najib Razak menyedari dana yang masuk ke dalam akaun Ambank miliknya berjumlah RM42 juta berkaitan dengan SRC International Sdn. Bhd.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee yang mengetuai pasukan pembelaan berkata, terdapat banyak transaksi yang masuk ke akaun bank bekas Perdana Menteri itu namun ia tidak dapat disahkan sama ada wang itu adalah daripada sumber haram.

“Duit yang masuk ke dalam akaunnya (Najib), adakah beliau tahu itu daripada sumber haram?

“Jika wang masuk ke akaun saya, adakah saya mempunyai pengetahuan penuh ia (wang) datang daripada sumber yang salah? Ramai pihak yang terlibat,” katanya kepada pihak media di perkarangan Kompleks Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Mengulas sama ada Najib perlu membuktikan beliau sedar atau sebaliknya mengenai sumber wang tersebut, Muhammad Shafee berkata, ia adalah tanggungjawab pihak pendakwaan untuk berbuat demikian.

“Ini bukan beliau yang perlu tunjukkan, (sebaliknya) pihak pendakwaan Mcm menunjukkan beliau (Najib) bersubahat dan ia sebahagian konspirasi. Ini tugas pendakwaan dan bukan kami (pasukan pembelaan).

“Itulah sebabnya saya katakan bukan penting apa yang ditunjukkan, apa yang tidak ditunjukkan adalah lebih penting kerana terdapat lebih banyak dokumen yang tidak didedahkan,” katanya.

Najib kini berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan e dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding bicara 3 April lalu, pihak pendakwaan memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan.

Hari ini pula pendakwaan turut memanggil saksi kedua, seorang Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM), Azizul Adzani Abdul Ghafar. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan