Hattan
Hattan

KUALA LUMPUR – Kekecewaan penyanyi irama tradisional, Noraniza Idris yang tidak mendapat sokongan daripada agensi kerajaan turut dialami penyanyi solo, Datuk Hattan.

Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Sahabuddin, 55, berkata, beliau turut kecewa dengan situasi yang berlaku ketika ini membabitkan golongan artis tanahair.

Ketika dihubungi Malaysia Gazette, penyanyi yang popular dengan lagu Rendang Tak Berbuah itu memberitahu, perjuangan artis-artis tempatan akan terkubur sekiranya tidak mendapat sokongan daripada mana-mana pihak terutamanya kerajaan.

“Di Malaysia ini kalau perjuangan artis-srtis tidak disokong, lama-lama mereka akan lingkup.

“Artis-artis ini sepatutnya dapat sokongan daripada mana-mana pihak macam syarikat korporat ataupun kerajaan.

“Siapa yang bertanggungjawab terhadap seni hiburan kalau tidak takkan ada kesinambungan. Ia akan habis macam itu saja,” katanya yang turut menjelaskan ramai artis kini mengeluh gara-gara tidak mendapat sokongan melalui pembiayaan oleh kerajaan sebagaimana yang pernah dirasai sebelum ini.

Menurut Hattan, tidak seperti dahulu, artis tempatan dibantu oleh kerajaan mengikut keperluan walaupun tidak seberapa.

Apa yang penting katanya, sumbangan yang dihulur oleh pihak kerajaan serba sedikit dapat membantu melegakan golongan artis daripada terpaksa menanggung beban sendirian.

“Walaupun kita ni dalam Malaysia baharu tapi yang lama tak boleh lupa.

“Dulu tak macam ini, dulu artis dapat sokongan kuat. Tak taulah saya nak cakap rasa macam kecewa pun ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hattan menegaskan bahawa beliau tidak mahu luahannya digambarkan dari sudut politik sebaliknya, beliau mahu ia dijadikan sebagai satu kesan kebertanggungjawaban oleh pihak-pihak yang berkenaan.

“Ini bukan politik tapi kebertanggungjawaban kita terhadap membela nasib golongan artis,” tambah beliau.

Terdahulu, laman portal ini menyiarkan kekecewaan Noraniza apabila satu persembahan konsertnya yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini tidak mendapat sokongan daripada agensi kerajaan.

Kekecewaan itu dinyatakan kepada Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abd. Majid.

Menurut Ayob, Konsert Sawo Matang persembahan Noraniza yang diadakan di Matic tidak mendapat sebarang bantuan daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan meskipun hanya mengaharapkan hiasan pentas.

Malah, Ayob turut mendakwa, agensi-agensi kerajaan kini tidak melayan golongan artis meskipun hanya sekadar mahu bertemu. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/15/noraniza-kecewa-konsertnya-tak-dibantu-agensi-kerajaan/