Nik Akif Syahiran Nik Mat

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam menggantung pemain tengah skuad kebangsaan, Nik Akif Syahiran Nik Mat dua perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik.

Pemain Kelantan itu didapati bersalah kerana berkelakuan ganas dengan menumbuk perut pemain lawan ketika perlawanan Liga Premier 2019 menentang Sarawak di Stadium Negeri, Kuching pada 6 April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu dalam satu kenyataan berkata, kesalahan itu telah melanggar Artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM dan diberi amaran keras serta hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Selain itu, FAM turut menggantung pemain pasukan Tun Razak FC, Mohammad Firdaus Yusof sebanyak empat perlawanan akibat daripada tindakannya menunjukkan isyarat lucah terhadap pengadil.

Dua lagi pemain iaitu Jasmir Mehat daripada pasukan SAMB FC dan Muhammad Rizqi Azman daripada pasukan DDM FC turut berdepan hukuman akibat daripada kad merah yang diterimanya dan berkelakuan ganas dengan sengaja memukul di bahagian leher pemain lawan.

Mereka digantung enam perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik dan diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Walau bagaimanapun, pemain tersebut digantung tiga perlawanan pertama dahulu dan baki tiga lagi perlawanan adalah ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pemain selama enam (6) bulan dari tarikh penerimaan keputusan. – MalaysiaGazette