Bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha (tengah) bersama Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii (kiri) dalam sesi dialog dan sidang media Tolak Statut Rom: Kenapa TMJ Sahaja di Ampang malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kegagalan kerajaan menunjukkan bukti bahawa Malaysia sudah menarik balik ratifikasi Statut Rom secara rasmi membuktikan Pakatan Harapan (PH) mahu mengisytiharkan ‘perang’ terhadap Majlis Raja-Raja.

Bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha menegaskan, sekiranya kerajaan tidak menarik balik dokumen yang ditandatangani itu, ia akan menyebabkan berlakunya perlanggaran terhadap Majlis Raja-Raja sekali lagi.

“Kalau kerajaan hari ini tidak menarik balik juga dan tidak ada bukti hitam putih maka ia bersifat pelanggaran kali kedua.

“Kalau ini berlaku, saya melihat Kerajaan PH secara terang-terangan mengisytiharkan peperangan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu serta rakyat yang bernaung di bawah tuanku.

“Ini serius, sebab itu kita minta supaya ada bukti hitam putih penarikan itu, selagi tiada, maka kita akan terus menggerakkan rakyat untuk bangkit bersama dengan Sultan-Sultan ini,” katanya dalam sesi dialog dan sidang media Tolak Statut Rom: Kenapa TMJ Sahaja malam tadi.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengakui beliau mewakili Malaysia untuk menandatangani Statut Rom pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.

Bagaimanapun pada 6 April lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana kekeliruan dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret Institusi Diraja menentang kerajaan.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun ini walaupun ia telah ditandatangani.

Norman juga menegaskan, Saifuddin dan kabinet akan melakukan perlanggaran kali kedua terhadap Majlis Raja-Raja sekiranya Malaysia gagal memaklumkan secara rasmi kepada PBB berkenaan penarikan itu.

“Pelanggaran pertama apabila mereka meratifikasi dan menandatangani perjanjian itu tanpa merujuk kepada Majlis Raja-Raja dulu.

“Ia melanggar Perkara 38 (4) Perlembagaan, itu jelas, Saifuddin kena, ada dua kebarangkalian, pertama Saifuddin menandatangani itu tidak merujuk kepada Peguam Negara atau penasihat undang-undang negara.

“Kedua, kemungkinan Peguam Negara memberi nasihat yang salah kepada Kabinet dan Saifuddin untuk tandatanganinya,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii melahirkan rasa hairan apabila tindakan Saifuddin dan Peguam Negara, Tommy Thomas itu tidak dikenakan sebarang tindakan tatatertib.

“Kita kalau langgar lampu isyarat pun kena denda, kalau tak bayar denda masuk penjara. itu sekecil-kecil kesalahan di dalam negara kita ini.

“Tetapi apa yang Saifuddin dan Peguam Negara buat ini tidak langsung dikenakan tindakan malah amaran pun tidak ada, tidak ada langsung teguran daripada Perdana Menteri, tiada teguran daripada Kabinet, tiada ada teguran agar belajar bersungguh-sungguh Perlembagaan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan