Watak dalam animasi Doraemon.

KUALA LUMPUR – Tindakan Balai Seni Lukis Negara bercadang mengadakan pameran lukisan bertemakan kartun animasi Doraemon sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 nampaknya dipertikaikan.

Warganet rata-ratanya mempersoalkan kenapa identiti negara diwakili oleh animasi kartun terkenal dari negara Jepun itu.

Ia juga dipersoalkan oleh Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas), Ameir Hamzah Hashim kerana berpendapat ia seakan-akan tidak menghargai karyawan animasi tempatan.

“Malaysia tidak kurang hebat dengan watak animasi sedia ada antaranya Lat Kampung Boy, Upin dan Ipin, Boboiboy, Usop Sontorian, Keluang Man dan lain-lain yang pernah dan masih digemari penonton,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Mac lalu, Pengerusi Balai Seni Lukis Negara, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, pameran lukisan Doraemon secara tidak langsung dapat mempromosikan Malaysia di mata dunia.

Beliau berkata, Doraemon mempunyai ramai peminat di seluruh negara dan ia secara tidak langsung menjadi daya penarik pelancong luar datang ke negara ini.

Malah hari ini, syarikat kartun animasi tempatan, Les’ Copaque juga turut ‘menyindir’ tindakan Balai Seni Lukis Negara itu.

“Benda boleh pakai animation luar untuk promote Malaysia, buat apa pakai animation Malaysia sendiri,” katanya menerusi status media sosial syarikat pengeluar kartun animasi Upin dan Ipin itu.

Ia seterusnya ‘mengundang’ pelbagai komen warganet termasuk mengaitkan salah satu watak dalam Doraemon dengan salah seorang VIP di negara ini.

“Mungkin watak Nobita seiras dengan VVIP di Malaysia? So maybe itu jadi alasan Doraemon sesuai sebagai produk pelancongan Malaysia?” soal K Anuar Yahaya.

Malah bagi Khairul Iqhmal Aziz pula menyindir dengan menulis; “Apa salahnya? Ini juga bersempena nobita yang sama wataknya dengan menteri kewayangan.”- MalaysiaGazette