Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Sebarang aktiviti kempen seperti penjamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah, samada dalam bentuk barangan atau wang untuk merasuah yang mempengaruhi pengundi merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Malah Suruhanajaya Pilihan Raya (SPR) turut mengingatkan bahawa apa-apa tindakan ataupun pernyataan yang mengganggu mana-mana pengundi daripada menjalankan hak pemilihannya secara bebas juga merupakan satu kesalahan di bawah akta yang sama.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun turut menasihatkan calon ataupun parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan agar tidak menyalahgunakan aset kerajaan ataupun menyalahgunakan kuasa kerajaan untuk meraih undi.

“Calon-calon dan juga pihak-pihak yang terlibat di dalam aktiviti berkempen hendaklah berkempen secara berhemah dan mengikut etika kempen yang menjamin keharmonian masyarakat.

“Segala arahan pihak yang berkuasa, terutamanya dari SPR, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) ataupun PDRM (Polis Di-Raja Malaysia) hendaklah sentiasa dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK Sandakan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang merupakan Pengerusi DAP Sabah.

Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu, pada jam 12.15 tengah pada 28 Mac lalu.

Menurut Azhar, semua pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen pada PRK itu supaya sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya sepanjang tempoh berkempen yang bermula selepas perisytiharan calon pada 27 April 2019 sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei 2019.

Katanya, mereka yang mempunyai maklumat mengenai pelanggaran undang-undang disaran melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa yang berkenaan seperti SPRM dan PDRM. – MalaysiaGazette