Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bersama Datuk Dr Chamil Wariya menyampaikan Anugerah Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar pada Malam Wartawan Malaysia 2019 di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Wartawan dinilai bukan berdasarkan kesetiaan terhadap ahli politik tetapi kredibiliti mereka menggalas tugas.

Demikian kata Tan Sri Johan Jaaffar yang dinobat sebagai Tokoh Wartawan Negara ke-12.

Dalam ucapannya selepas diumumkan sebagai pemenang anugerah tersebut, Johan berkata, wartawan perlu meneruskan peranannya menegur dan memberikan pandangan secara terbuka tanpa kebimbangan.

“Kita harus memberi teguran dan pandangan tanpa takut. Kita (wartawan) harus memainkan peranan.

“Ahli politik boleh datang dan pergi tetapi kita tetap di sini, kita tidak akan dinilai kesetiaan kita kepada mereka, tetapi kredibiliti kita,” ujar pada majlis Anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2018 yang diadakan sempena Malam Wartawan Malaysia di sini.

Johan yang merupakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan kini kolumnis akhbar The Star menerima sijil penganugerahan, trofi dan wang tunai RM30,000.

MGF26042019_MALAM WARTAWAN MALAYSIA 201916
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bersama sebahagian penerima anugerah pada Malam Wartawan Malaysia 2019 di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 APRIL 2019

Sementara itu Anugerah Kajai tahun ini diraih oleh dua wartawan akhbar Kosmo Ahmad Mustakim Zulkii dam Luqman Ridhwan Mohamed Nor.

Anugerah Tokoh Wartawan Negara dan Anugerah Kajai disampaikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Sebanyak 267 penyertaan diterima bagi 20 kategori yang dipertandingkan bagi anugerah tahunan anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dan Petronas itu. -MalaysiaGazette