Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menumpukan soal pemulihan ekonomi daripada menyentuh perkara-perkara yang sensitif yang boleh menimbulkan keresahan rakyat.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, isu seperti mahu menggugurkan status agama dalam kad pengenalan tidak sepatutnya timbul.

Ini kerana, soal itu tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah sekalipun.

“Tuduhan yang mendakwa maklumat status agama dalam kad pengenalan adalah satu amalan rasis amatlah melulu. Rasis adalah soal kebencian yang dibina atas dasar kaum.

“Mustahil semata-mata wujud maklumat agama, semua orang jadi pembenci. Ia hujah yang tidak masuk akal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhammad Yusof mengingatkan yang Malaysia merupakan sebuah negara yang dibina atas kesepakatan pelbagai kaum dan telah diikat menerusi beberapa keistimewaan yang berasaskan kaum seperti Perkara 153. .

Malah katanya, Islam adalah agama Persekutuan di bawah Perkara 3 dan kewujudan status agama sekadar untuk mengesahkan dan melaksanakan peruntukan Perlembagaan.

“Selain itu, status agama juga membantu dalam urusan yang berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang kekeluargaan. Misalnya dalam soal pendaftaran perkahwinan.

“Bagi penguatkuasaan undang-undang Islam pula, status agama amat memudahkan pihak penguatkuasa menjalankan tugas.

“Kita tidak mahu bukan Islam tersalah menjadi pihak yang ditangkap atas kesalahan syariah seperti makan di tempat awam sewaktu bulan Ramadan,” ujarnya.

Baru-baru ini Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menyatakan bahawa Kementerian Dalam Negeri akan memperhalusi semasak-masaknya cadangan untuk menggugurkan perkataan agama dalam kad pengenalan.

Katanya, ia berikutan kerajaan tidak mahu menimbulkan sebarang masalah, atau isu sensitif kepada sesetengah pihak. – MalaysiaGazette

KDN akan perhalusi cadangan gugur perkataan agama dalam kad pengenalan