Walaupun pentadbiran kerajaan Malaysia telah diambil alih oleh Pakatan Harapan, namun peruntukan kepada Pulau Pinang masih dilihat rendah.

PULAU PINANG – Walaupun ramai pihak mengharapkan peruntukan Persekutuan kepada Pulau Pinang akan bertambah dengan kejayaan Pakatan Harapan membentuk kerajaan di pusat, namun apa yang dinyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow adalah sebaliknya.

Kon Yeow berkata, Pulau Pinang tetap dipinggirkan apabila tidak melihat projek besar mengambil tempat di negeri itu.

“Pembentukan kerajaan di Pusat  memang memudahkan pentadbiran dan kami juga menerima sedikit ‘duit kecil’, tetapi tidak lihat projek besar dilancarkan.

“Kalau meneliti data peruntukan, maka kami boleh lihat bahawa Pulau Pinang selama ini telah dipinggirkan, tidak kira siapa yang mentadbir kerajaan Pusat dan negeri,” katanya kepada China Press.

Kon Yeow berkata, keadaan yang berlaku sejak zaman Barisan Nasional (BN) itu terus berlaku.

“Dalam keadaan tertentu, kerajaan negeri perlu memberi peruntukan kepada agensi Persekutuan untuk mengadakan program,” katanya.

Walau bagaimanapun, Kon Yeow berkata, beliau tidak memberi kesimpulan terlalu awal dalam soal projek besar kerana Pakatan Harapan hanyalah mentadbir kerajaan pusat selama setahun.

“Kami tidak boleh bandingkan satu tahun di bawah Pakatan Harapan dengan 60 tahun di bawah BN.

“Kami cuma berharap keadaan sama tidak akan berterusan dan kami mahu memperjuangkan lebih banyak peruntukan. Yang diharapkan ialah Kerajaan Pusat akan mengubah sikap terhadap Pulau Pinang,” katanya.

Ditanya mengenai prestasi Menteri Kewangan, Kon Yeow berkata, keadaan ekonomi dan skandal kewangan yang dihadapi menyebabkan Lim Guan Eng berdepan pelbagai kekangan.

“Duit yang dijimatkan daripada projek-projek besar perlu digunakan untuk menyelamat Tabung Haji dan Felda,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan