Sebahagian ahli keluarga dan kenalan mengusun jenazah pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al Hafiz, 75, yang meninggal dunia dibawa ke Masjid Saidina Hamzah di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz disifatkan sebagai seorang tokoh agama yang amat disegani kerana memiliki ilmu Islam yang tinggi.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, umat Islam yang mengenalinya pasti akan merindui ceramah agama dan curahan ilmu bekas penasihat istana itu yang sering dikongsikan sepanjang hidupnya.

Malah, keistimewaan yang ada pada diri Allahyarham tidak ada tolok bandingnya dengan penceramah-penceramah agama yang lain.

“Allahyarham seorang tokoh agama yang wajar diingati kerana beliau sentiasa memberi nasihat, terutama ketika menjadi Penasihat Agama di Istana Negara.

“Hubungan saya dengan beliau sendiri sangat rapat kerana kami bersama-sama mengendalikan kuliah di Masjid Saidina Hamzah setiap Ramadan.

“Allahyarham juga sering berseloroh dengan saya kerana masyarakat menganggap beliau adalah Allahyarham Datuk Dr Haron Din,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Taman Batu Muda, di sini, hari ini.

Jamil Khir merupakan salah seorang jiran yang tinggal berdekatan dengan kediaman Allahyarham.

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa yang turut berziarah berkata, Allahyarham adalah guru yang sangat teliti ketika menyampaikan ilmu agama.

Ujarnya, beliau sempat mempelajari ilmu yang sangat berguna untuk dirinya daripada Allahyarham menerusi dua buah kitab ketika menuntut ilmu di masjid negara.

“Allahyarham mempunyai kepakaran dalam ilmu fiqah dan sering menjadi tempat rujuk untuk isu semasa berkaitan ilmu fiqah.

“Beliau juga memberikan motivasi kepada saya untuk menguasai bahasa Arab dan melanjutkan pelajaran di luar negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette