Mendiang Presiden Parti IPF, Datuk M. Sambathan

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini ketika sesi sidang Dewan Negara, Presiden Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Datuk M Sambathan ditegur oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching agar tidak cuba menjadi ‘jaguh’ masyarakat India.

Nie Ching secara sinis menegur Sambathan yang juga Ahli Dewan Negara mewakili Barisan Nasional (BN) supaya tidak cuba berlagak menjadi hero kerana tidak henti menyoal tentang isu Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Ladang Semenyih (SRJKT).

Sambathan ketika menghubungi MalaysiaGazette sebentar tadi berkata, beliau tidak perlu menjadi hero dengan hanya bercakap tentang isu pertikaian tanah antara sekolah tersebut dengan pemaju untuk puluhan tahun.

Sebaliknya kata beliau, jika benar dengan bercakap dan perjuangkan nasib masyarakat India itu sebenarnya berlagak hero, bermakna beliau sudah menjadi jaguh selama lebih 30 tahun.

“Bukan sahaja isu SJKT sebaliknya banyak lagi yang dihadapi oleh masyarakat khasnya komuniti India telah saya dan IPF perjuangkan, sebelum PH wujud lagi. Sebelum Timbalan Menteri, Nie Ching ini menjawat jawatan itu.

“Jika hendak bercakap tentang SJKT Ladang Semenyih ini pula, saya telah perjuangkan. Bukan hari ini atau semalam malah bukan ketika menjelangnya musim pilihan raya seperti segelintir pihak. Isteri saya adalah bekas pelajar sekolah itu. Jadi janganlah memandai.

“Kalau tuduh saya cuba politikkan isu berkaitan masyarakat India yang hakikatnya perlu disuarakan, jadi biarlah saya dan rakan-rakan dalam BN menjadi hero. Jangan cuba perkecilkan usaha kami agar kamu boleh terus mengabaikan kami,” katanya.

Baru-baru ini di Dewan Negara Nie Ching dan Sambathan ‘bertegang urat’ dalam isu pertikaian tanah antara pemaju Sime Darby Property dengan pihak SJKT Ladang Semenyih.

Nie Ching menegaskan beliau memberitahu Sambathan bahawa KPM sedang meneliti dan sentiasa memantau isu sekolah Tamil itu selain daripada meminta beliau berhenti menyalahkan kerajaan Negeri.

“Saya hendak tanya, adakah sekolah itu sudah dirobohkan? Tidak ada bukan, KPM hentikan pemaju daripada merobohkan sekolah itu. Tuduhan Sambathan tidak benar, KPM kononnya tidak ambil berat terhadap sekolah ini kurang tepat.

“Sambathan telah hubungi saya untuk minta bantuan, kita telah hubungi pemaju, malah pegawai khas saya yang pergi sendiri ke sekolah tersebut, tuduhan kononnya kami tidak ambil tindakan tidak tepat.

“Isu ini akan ambil masa tetapi pada masa sama, kita KPM tidak akan sesekali benarkan sekolah berkenaan di robohkan begitu sahaja.

“Tapak di miliki oleh pemaju bukan kerajaan negeri Selangor. Harus faham isu ini. Ini ambil masa, kita selalu hubungi LPS bagi jelaskan situasi terkini. Adakah Yang Berhormat hubungi LPS? Kita ikhlas, janganlah politikkan isu ini,” jelas Nie Ching.

Bagaimanapun, jelas Sambathan sehingga hari ini, kerajaan negeri mahupun Persekutuan tidak pernah memberikan apa-apa kata putus atau tarikh berkaitan pertikaian tanah tersebut.

Malah kata Sambathan, sebelum ini ada pimpinan PH seperti Menteri Air dan Sumber Asli,  Xavier Jayakumar dan Exco Kerajaan Negeri, Ganabatirau telah memberikan jaminan surat pemilikan tanah telah keluar ketika PRK Semenyih baru-baru ini.

“Mana surat yang mereka kata itu? Bila tarikh hendak selesai isu ini? Janganlah asyik bercakap sahaja, anda sudah berkuasa di Selangor dua penggal, lebih 10 tahun. Kata tidak boleh, kini kerajaan Persekutuan juga anda punya, masih kata kerajaan terdahulu. Sudahlah,” tegasnya.

Jelas Sambathan lagi, satu ketika dahulu sebelum menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14, hampir kesemua pimpinan PH juga cuba menjadi jaguh dan pejuang hebat apabila menjanjikan pelbagai pembaharuan.

Bagaimanapun, apabila sudah mendapat kuasa mutlak kini sikap menuding jari masih lagi tidak berubah dakwa Sambathan.

“Dulu mereka tuduh kita macam-macam. Adakah ketika itu mereka juga cuba jadi hero? Saya mahu tanya, adakah dengan bantu menyuarakan dan ambil berat tentang komuniti serta rakyat negara ini adalah sesuatu yang dianggap sebagai populis semata-mata?

“Saya rasa jika kami tidak buka mulut, mungkin banyak lagi isu hanya akan di diamkan sahaja. Seperti isu matrikulasi, jika semuanya diam, mungkin KPM tidak tertekan untuk mengeluarkan kenyataan atau sebarang tindakan. Adakah itu juga di anggap sebagai mengejar populariti?

“Bila bercakap kena juga gunakan akal fikiran, mungkin Nie Ching dan pimpinan khasnya dalam komuniti India masih lagi setahun jagung, belum setahun lagi memerintah dan menjadi Menteri, Timbalan dan sebagainya.

“Jadi lebih baik kamu semua jangan memandai beri nasihat sebaliknya cuba buat kerja dengan lebih tekun. Itu sahaja saranan saya,” ujarnya.

SRJKT Ladang Semenyih ditubuhkan pada 1948 di atas tanah milik sebuah syarikat perladangan sebelum dijual kepada Sime Darby Property.

Bagaimanapun, pertikaian terjadi pada 2010 apabila pihak sekolah hanya diberi 3.8 ekar tanah berbanding peruntukan yang ditetapkan garis panduan Selangor iaitu minimum seluas enam ekar tanah.

Pihak sekolah sebelum ini mendesak supaya kerajaan negeri menepati garis panduan berkenaan, sementara Sime Darby Property pula berkata pihaknya dalam proses mendapatkan semula sebidang tanah yang diduduki sekolah berkenaan. –MalaysiaGazette