Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO memberi markah E kepada pencapaian setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bermakna kerajaan PH gagal bagi menjadi kerajaan berwibawa.

“Walaupun selepas setahun PH mentadbir negara, nilai matawang negara menjadi semakin tidak menentu bukan sahaja berbanding dengan nilai Dolar Amerika malah mata wang sekitar rantau Asia Tenggara melonjak dalam keadaan yang semakin mengukuh manakala ringgit terus dengan prestasi yang tidak memberangsangkan.

“Situasi ekonomi yang semakin teruk dengan indeks saham terus merosot dan pelabur asing pula berterusan menarik dana keluar dari Malaysia menunjukkan kepada kita bahawa Kerajaan PH pada hari ini telah gagal dan tidak berupaya mengurus ekonomi negara dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah dalam tempoh 9 dari jumlah 10 bulan yang dibuat pemantauan, Indeks Pelopor terus mengalami penyusutan selepas dari waktu PH mengambil alih kerajaan.

Senario ini dilihat semakin parah apabila Kerajaan PH terus mengambil jalan mudah dengan menjual aset milik Khazanah Nasional antaranya IHH Bhd, sejumlah saham Bank CIMB dan BDO Unibank (Filipina), sejumlah saham TNB dan lain-lain lagi, katanya.

Semua tindakan ini menjadi persoalan yang tidak terjawab dari sudut tujuan serta keperluannya.

“Sekiranya benar kerajaan PH berhasrat untuk meringankan segala beban rakyat, maka mereka perlu berusaha untuk menarik lebih ramai pelabur asing bagi membaik pulih ekonomi negara dan melaksanakan plan strategik untuk mengurus serta mengawal kenaikan kos sara hidup.

“Skrip yang direka kononnya negara ini hampir bankrap demi untuk menebus dosa kerajaan PH yang gagal mengurus ekonomi dan menunaikan janji manifesto bukanlah satu tindakan yang bijak.

Ini kerana alasan seumpama itu pastinya menghilangkan keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia. Ditambah pula dengan kenyataan yang berbeza-beza oleh kepimpinan kerajaan PH sendiri terutama dalam soal jumlah hutang negara dan ramai pakar ekonomi yang menyelar tindakan tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, sewaktu kerajaan terdahulu menjalinkan kerjasama dengan China yang melibatkan jumlah pelaburan yang besar maka pimpinan PH telah membuat tuduhan kononnya kita telah menjual negara kepada China.

Bagaimanapun bila PH mengambil alih kerajaan maka segala tuduhan tersebut telah bertukar dan usahasama Malaysia dengan kerajaan serta syarikat China dikatakan satu pelaburan yang sangat strategik.

Projek Bandar Malaysia, ECRL dan Taman Perindustrian Berkembar Kuantan-Qinzhou (MCKIP & CMQIP) diteruskan malah pemilikan Proton Geely telah kembali menjadi kereta nasional dan kebanggaan negara hanya apabila Pakatan Harapan yang memerintah negara ini.

“Selain itu juga, PH turut dilihat sebagai sebuah kerajaan yang hanya mampu melakukan penjenamaan semula berbanding mengutara idea atau produk baru. BRIM, UTC, RTC, PERMATA, Klinik 1 Malaysia dan banyak lagi projek dan kemudahan milik kerajaan terdahulu ditukar nama baru. Jika dahulu kita membela dan membantu rakyat dengan menyediakan BRIM, namun hari ini ia telah diganti kepada Bantuan Sara Hidup yang terlalu rendah nilai dan jumlah agihan bantuannya.

“Tiada sebarang identiti sendiri yang mampu kerajaan PH hasilkan,” katanya.

Kalau ada pun, katanya, projek kereta terbang sahaja dibentangkan.

“Hakikatnya setahun berlalu mereka masih lagi asyik dibuai mimpi indah sedangkan rakyat terus dihimpit dengan kesengsaraan. Maka wajarlah Gred E untuk kerajaan PH yang gagal,” kata Ahmad Zahid.-MalaysiaGazette