Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Moggie (tengah) diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan TNB, Nazmi Othman melihat Laporan Tahunan Bersepadu TNB pada sidang media sempena Mesyuarat Agung Tahunan TNB ke-29 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 14 MEI 2019

KUALA LUMPUR- Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menjangkakan pendapatan daripada projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) mula diperolehi tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu, Amir Hamzah Azizan berkata, syarikat tenaga negara itu juga sedang meninjau lokasi yang mempunyai nilai tinggi untuk mengkomersialkan projek tersebut.

“Lembaga Pengarah sangat menyokong cadangan kami untuk meluaskan perjalanan projek NFCP ke mana sahaja yang TNB lihat mempunyai nilai untuk mengkomersialkan perniagaan fiber kami.

“Kami akan menyediakan hubungan manakala Penyedia Perkhidmatan Runcit (RSP) seperti TIME, Telekom Malaysia dan Astro akan memberi perkhidmatan kepada pengguna akhir sama ada kediaman atau komersial.

“Kami hanya menyediakan tulang belakang sahaja dan perkhidmatan pukal.

“Para pemegang saham juga memberi sokongan terhadap usaha ini kerana ia dapat memberi nilai kepada syarikat,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan TNB di sini hari ini.

Ketika ditanya apakah TNB tidak berminat untuk meneruskan projek NFCP secara runcit kerana mempunyai pengalaman dalam mengendalikan segmen perniagaan sedemikian, Amir Hamzah berkata, buat masa sekarang fokus mereka hanyalah untuk menyediakan tulang belakang dan perkhidmatan pukal sahaja.

“Memang sifat semulajadi perniagaan kami sebegitu tetapi bagi projek fiber, kami lihat sudah cukup untuk menyediakan tulang belakang sahaja.

“Pada masa hadapan, mungkin (menceburi segmen runcit) tetapi buat masa sekarang fokus utama kami adalah menyediakan tulang belakang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah menjangkakan pelaksanaan meter elektrik pintar di Lembah Kelang akan bermula tahun hadapan.

Ketika ini, TNB sedang dalam fasa terakhir untuk membuat persiapan.

Menyentuh mengenai isu-isu yang timbul selepas pemasangan meter elektrik pintar dalam projek perintis di Melaka, Amir Hamzah berkata, TNB sedang menyiasat semua aduan tersebut dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Pengiraan menggunakan meter elektrik pintar adalah lebih tepat sebenarnya.

“Walau bagaimanapun, TNB tetap akan menyiasat semua aduan tersebut,” katanya.

Baru-baru ini, terdapat rungutan mengenai bil letrik yang lebih tinggi selepas pemasangan meter elektrik pintar.- MalaysiaGazette