Pengarah Urusan Golden Minerals Sdn Bhd, Datuk Seri R Rajagopal bercakap pada sidang media mengenai Penyelewengan dan Penyalahgunaan Kuasa oleh Syarikat Milik Kerajaan Negeri Terengganu di Hotel Hotel, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Syarikat perlombongan bijih besi, Golden Minerals Sdn Bhd (GMSB) menuntut kepada kerajaan negeri Terengganu supaya membayar kepada mereka mengikut perintah mahkamah berjumlah RM15,342,212.55.

Ia merupakan bayaran bagi kerja-kerja melombong bijih besi di kawasan Padang Air Putih Mukim Bandi di Kemaman Terengganu yang telah terhenti sejak 2009.

Pengarah urusan syarikat berkenaan, Datuk Seri R. Rajagopal mendakwa, kerajaan Terengganu telah mengingkari arahan Mahkamah Rayuan berhubung perkara itu.

Menurutnya, banyak usaha telah dilakukan sejak September tahun lalu bagi mendapatkan bayaran kerugian berkenaan terhadap Permint Minerals Sdn Bhd (PMSB) yang juga anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) selepas mahkamah mengeluarkan arahan itu, namun ianya menemui jalan buntu.

“Setelah mendapat keputusan Mahkamah Persekutuan, GMSB telah merujuk ahli lembaga pengarah PMINT (Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terangganu) dibawah pemerintahan semasa oleh Kerajaan Pas dibawah Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri, namun ia tidak diendahkan.

“Pegawai-pegawai kerajaan negeri Terengganu dibawah kerajaan Barisan Nasional dan kerajaan Pas pimpinan menteri besar tidak menghormati keputusan mahkamah dan telah memperalatkan mahkamah serta menganiayai GMSB sebagai pelabur,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengarah Eksekutif syarikat berkenaan, Nor Izura Mazlan.

Dalam pada itu, Rajagopal turut mendakwa PMSB selaku kerajaan telah menyeleweng dan menganiayai GMSB yang telah melabur sejumlah wang yang besar bagi melaksanakan lombong tersebut.

Ujarnya, sebagai kerajaan mereka telah menyalahgunakan kuasa dan ia akan memberi kesan yang besar dan serius kepada pelabur-pelabur di masa akan datang di Terengganu.

MGF15052019_GOLDEN MINERALS_01
Pengarah Eksekutif Golden Minerals Sdn Bhd, Izura Mazlan bercakap pada sidang media mengenai Penyelewengan dan Penyalahgunaan Kuasa oleh Syarikat Milik Kerajaan Negeri Terengganu di Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 MEI 2019

Sementara itu, Nor Izura berkata, pihaknya hanya mahu memastikan PMSB membayar kepada GMSB seperti yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan.

Tegasnya, GMSB memohon agar kerajaan Pakatan Harapan memandang serius terhadap isu berkenaan dan berharap agar pelabur akan datang tidak dianiayai oleh kerajaan Terengganu seperrti yang terjadi kepada GMSB. – MalaysiaGazette