Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pagi ini apabila para pelabur menyimpan keuntungan menjelang pengumuman data keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada hari ini.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.96 mata kepada 1,609.47.

Indeks itu dibuka lebih rendah pada 1,609.22, 2.21 mata daripada paras penutup 1,611.43 semalam.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 138 berbanding 105, dengan 159 kaunter tidak berubah, 1,509 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 182.68 juta saham bernilai RM129.95 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata pengambilan untung berlaku sejak semalam lagi.

Oleh itu, ia menjangkakan peningkatan aktiviti pengambilan untung hari ini akan membataskan potensi kenaikan dalam tempoh terdekat ini.

“Sentimen pasaran masih berhati-hati terjejas oleh pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China tetapi kenaikan semalaman dalam kebanyakan indeks ekuiti utama dunia boleh menyediakan sedikit rangsangan bagi masa terdekat ini.

“Dengan ketegangan perdagangan masih menemui jalan buntu, susulan langkah AS melarang peralatan telekomunikasi China di negara itu semalam, pasaran ekuiti global masih lemah dengan keadaan pasaran mungkin kembali memburuk sekiranya isu itu menjadi hangat,” kata firma penyelidikan tersebut.

Dalam tempoh terdekat ini, ia menjangkakan indeks utama kekal di atas paras sokongan 1,600 mata dengan peningkatan sederhana kemungkinan membantu indeks utama menguji semula paras 1,620 dan sokongan segera dilihat pada paras 1,610 mata.

“Saham berharga rendah dan keseluruhan pasaran juga mencatatkan pemulihan sederhana dan trend ini dijangka berterusan apabila pemain runcit mengambil kesempatan daripada keadaan pasaran yang tenang untuk melaksanakan aktiviti dagangan,” kata Malacca Securities.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat satu sen kepada RM9.02, Public Bank menokok empat sen kepada RM22.52, manakala Petronas Chemicals turun tiga sen kepada RM8.82 dan Tenaga jatuh empat sen kepada RM11.74.

Menerajui saham yang diniagakan cergas, saham yang baru disenaraikan hari ini, Leong Hup International naik lima sen kepada RM1.15 dengan 77.2 juta saham bertukar tangan.

Dengan nilai tawaran awam permulaan (IPO) RM1.2 bilion, penyenaraian pengeluar penternakan ayam itik itu merupakan yang terbesar di Malaysia bagi tahun ini.

Sementara itu, Vortex meningkat dua sen kepada 29.5 sen dan Hubline naik setengah sen kepada enam sen.

Indeks FBM Emas susut 10.21 mata kepada 11,342.96, Indeks FBMT 100 turun 13.15 mata kepada 11,173.74 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 19.11 mata kepada 11,506.61.

FBM 70 susut 9.64 mata kepada 13,940.50 manakala FBM Ace meningkat 5.32 mata kepada 4,453.81.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 0.55 mata kepada 16,578.24, Indeks Perladangan susut 11.92 mata kepada 6,920.67 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.18 mata kepada 164.33. – MalaysiaGazette