Foto Instagram Diana Danielle.

KUALA LUMPUR – Pelakon Datin Diana Danielle meluahkan rasa hati terhadap Datuk Farid Kamil Zahari selepas suaminya dipenjara sembilan bulan atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) bermula semalam.

Menerusi status di Instagramnya, Diana secara berkias berkata, kehidupan ini sentiasa diuji, namun dia, suami dan anak-anak menangani dugaan dengan positif.

“Kehidupan ini sentiasa dilemparkan lemon tetapi kita sudah arif hingga mampu menukar buah masam itu sebagai air lemon,” tulisnya ringkas.

Dalam status sama, ibu kepada dua cahaya mata itu memberi kata-kata penuh tersirat bersama gambar yang menunjukkan kegembiraan mereka sekeluarga.

Semalam, Farid dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor di atas kesalahan yang dilakukannya, tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas pelakon dan pengarah berusia 38 tahun itu memilih untuk berdiam diri di mana tertuduh sepatutnya tampil membela diri.

Nor Ariffin turut memerintahkan tertuduh berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Dalam prosiding berkenaan, mahkamah juga tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.

Berikutan itu Farid Kamil dibawa ke Penjara Kajang dan hukuman penjara itu diperintah bermula tarikh sabitan iaitu semalam.

Rumah tangga Farid dan Diana yang dibina pada November 2012, diserikan dengan sepasang cahaya Muhammad, 6, dan Nur Aurora, 4. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan