S. Gobi Krishnan
S. Gobi Krishnan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan mengambil langkah lambat terhadap Agroscience Industries Sdn. Bhd. untuk mendapatkan semula RM250 juta pinjaman mudah yang diberikan kepada syarikat itu sebelum ini.

Naib Presiden penaja Parti Negara (Negara), S. Gobi Krishnan menegaskan, tindakan undang-undang terhadap syarikat itu sepatutnya dilakukan di awal Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Persekutuan Mei tahun lalu.

Beliau berpendapat, ada asas kukuh untuk kerajaan memulakan semula tindakan undang-undang bersandarkan salah laku pecah amanah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan terhadap syarikat dimilikinya, Nasional Feedlot Corporation (NFC).

“Ini telah terbukti wang pinjaman yang sepatutnya disalurkan untuk projek NFC telah disalahguna untuk membeli beberapa kondominium dan dimasukkan ke akaun bank peribadi milik pengarah syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd, Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail.

“Apatah lagi mengikut laporan akhbar, pemilik NFC telahpun mengenalpasti sebuah syarikat lain yang sanggup membayar kembali jumlah pinjaman ini kepada kerajaan,” katanya kepada media hari ini.

S. Gobi berkata, kerajaan PH sepatutnya tidak boleh menerima penyelesaian seperti itu kerana ia bukan kes pinjaman biasa dan telah wujud bukti berlaku pelanggaran syarat pinjaman, di samping timbulnya unsur pecah amanah.

Kata beliau, adalah memalukan sekiranya sebuah syarikat yang melakukan pecah amanah wang rakyat dibenarkan pula untuk mengesyorkan nama syarikat lain bagi mengambilalih projek berkenaan.

“Pada hemat kami, Peguam Negara harus bertindak bukan sahaja mendapatkan kembali jumlah pinjaman berkenaan, tapi harus bertindak mengheret pesalah itu ke muka pengadilan.

“Atas sebab itu, kami menyeru kerajaan supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan syarikat pemilik NFC berkenaan yang kononnya ada syarikat akan membayar balik bagi pihak mereka yang kami sifatkan hanya helah untuk melepaskan diri.

“Keadilan harus ditegakkan. Kami menyeru Peguam Negara segera mengambil tindakan undang-undang dan menghadapkan pesalah ini ke muka pengadilan, seterusnya dikenakan tindakan sewajarnya,” ujarnya.

Beliau berharap, kerajaan sedar rakyat memerhatikan segala tindak-tanduk mereka dalam kes melibatkan wang rakyat seperti itu. – MalaysiaGazette