Home Nasional Kutip hutang, TEKUN berjaya kumpul RM200 juta

Kutip hutang, TEKUN berjaya kumpul RM200 juta

KUALA LUMPUR – Dalam tempoh lima bulan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional berjaya mengutip sejumlah RM200 juta hutang daripada 419,483 peminjam yang membuat pinjaman perniagaan.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata jumlah itu membuktikan peminjam mula sedar tanggungjawab mereka untuk membayar balik hutang sekaligus dapat membantu usahawan kecil dan sederhana yang lain.

“Walaupun jumlah itu hanya separuh daripada hutang terkumpul iaitu lebih RM600 juta daripada kesemua peminjam, pihak pengurusan kami berusaha mengambil masa, langkah dan ruang untuk membolehkan peminjam membayar balik hutang mereka.

“Kami memberikan peluang kedua kepada mereka yang tidak boleh membayar balik hutang supaya tampil berjumpa dan berbincang dengan pihak kami,” katanya ada Majlis Apresiasi Karnival Usahawan dan Sambutan Hari Raya Aidifitri 2019 di Dataran Kopakat, Tanah Merah.

Pihaknya menurut beliau akan mengambil tindakan tegas kepada peminjam yang cuba lari daripada tanggungjawab mereka untuk membayar balik hutang pinjaman.

“Jenis peminjam lari dan sembunyi yang kami tidak mahu kerana sikap ini akan memberikan kesan kepada usahawan kecil dan sederhana yang lain pada masa hadapan untuk mendapat dana pinjaman,” tambahnya.

Meskipun TEKUN sedang berusaha mengutip semula hutang, walaubagaimanapun Mohamad Suparadi enggan agensi tersebut dilihat seperti ‘ah long’.

“Bukan kami mahu menjadi seperti ‘ah long’ untuk mengutip hutang secara paksaan kerana kami mempunyai kaedah tertentu bagi membantu peminjam agar mampu membayar balik hutang mereka.

“Kami faham dalam keadaan ekonomi tidak menentu ramai peminjam tidak mampu bayar balik hutang mereka terutama mereka yang tidak berjaya dalam perniagaan selepas mendapat pinjaman,” katanya.-MalaysiaGazette